MCA Yang Perlu Dibubar, Bukan Membubarkan BN

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa kesal dengan kenyataan MCA yang mencadangkan agar BN dibubarkan sedangkan hal sebegini sewajarnya boleh dibincang secara bermusyawarah.

“Saya mengharapkan kenyataan-kenyataan sebegini tidak keluar dari pimpinan dalam BN kerana ianya boleh dibincangkan secara musyawarah dan ada caranya,” katanya.

Beliau menganggap ia sebagai satu kenyataan yang melambangkan keangkuhan MCA bertujuan hanya untuk menutup kelemahan sendiri.

“Itu merupakan kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan jika beliau masih menghormati rakan pimpinan parti-parti komponen yang masih setia dalam BN seperti UMNO, MIC, My-PPP dan PBRS.

“Seharusnya Wee tidak membuat kenyataan seperti ini kerana BN bukan milik MCA secara mutlak walau MCA bersama UMNO seawal 1952 dalam Perikatan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebooknya.

Tegas beliau yang juga Naib Presiden UMNO, sejarah bersama berjuang selama ini dilihat dalam konteks yang baik dan betul bukan semata menyalahkan UMNO atau BN.

“Rasa tidak hormat ini dizahirkan MCA bila tidak lagi menjemput Pengerusi BN sebagai Perasmi Persidangan Mesyuarat Agong mereka Ke 65. Parti-parti kompenan lain juga tidak dijemput dan ini menjelaskan hala tuju keputusan yang bakal dibuat oleh MCA dalam mesyuarat mereka.

“Wee lupa bahawa MCA masih mempunyai 1 kerusi Parlimen dan 2 kerusi DUN kerana rakan parti lain dalam komponen.”

Ini jelas katanya apabila Wee sendiri hanya menang majoriti 303 dikawasan Parlimen Ayer Hitam yang terdiri dari majoriti Melayu yaitu 66.72% dan jelas 31% pengundi cina tidak mengundi Wee.

“Sama situasinya dengan 2 Dun yang dimenangi MCA yaitu di DUN Cheka (Pahang) dengan majoriti 202 dikawasan 71.4% majoriti pengundi melayu.

“Di DUN Titi Tinggi (Perlis) menang dengan majoriti 142 dikawasan 77.8% majoriti pengundi melayu. Tanpa bantuan dari UMNO dan komponen lain sudah pasti MCA tidak akan menang walau satu kerusi dalam PRU14 yang lepas.”
Katanya, dari senario itu sepatutnya MCA membubarkan parti mereka dan menjenamakan semula agar boleh meraih kepercayaan kaum atau pengundi cina dan bukan mahu membubarkan BN kerana MCA tidak ada hak.

“Membubarkan BN harus dibincangkan dengan rakan komponen bukan mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal sebegini.

“Dalam PRU14 lepas MCA hanya mampu meraih undi cina sebanyak 2.5% dan ia mencerminkan penolakan kaum cina kepada MCA bukannya kepada BN. Tanpa BN 3 kerusi yang dimiliki MCA hari ini tidak akan wujud.

“Seharusnya MCA mendapatkan 20% undi kaum cina untuk memenangkan BN di banyak lagi tempat dan kawasan. Bagi BN, MCA merupakan faktor utama kepada kekalahan BN pada PRU 14 yang lepas khususnya kawasan-kawasan majoriti besar kaum cina,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bera. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.