Lapan Sebab Kenapa Perlu Sertai Himpunan Ummah Sabtu Ini – Dr Asyraf


KUALA LUMPUR, 4 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki  hari ini memberi  lapan sebab kenapa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik untuk menyertai himpunan aman yang akan di adakan Sabtu ini.

Menurut beliau antaranya mensyukuri kejayaan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan mampu meruntuhkan 61 tahun keharmonian kaum di Malaysia.

Selain itu tegas beliau ianya juga adalah menolak sebarang usaha Kerajaan PH untuk meratifikasi Konvensyen-Konvensyen Antarabangsa lain berkenaan Hak Asasi Manusia yang tidak secocok dengan acuan Malaysia yang berpaksikan Islam, martabat Bumiputera dengan keunikan pelbagai agama dan bangsa.

“Seterusnya membantah segala dasar Kerajaan PH yang membelakangi prinsip Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan menyanggah pendirian PH yang lebih mengutamakan janji-janji manifesto berkaitan ratifikasi ICERD dan Konvensyen Hak Asasi Manusia yang lain berbanding janji-janji yang menyentuh kepentingan rakyat.

“Selanjutnya meluahkan rasa terkilan dan dukacita terhadap kegagalan Kerajaan PH menunaikan janji-janji Manifesto PRU14 lalu berkaitan kehidupan rakyat termasuklah janji berkaitan PTPTN, pemansuhan tol, penurunan harga minyak dan meringankan kos sara hidup rakyat.

“Perhimpunan ini juga mempamerkan semangat patriotik dan kecintaan kita sebagai rakyat Malaysia berbilang agama dan bangsa yang mengutamakan keamanan dan kehormonian,“ katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.

Katanya lagi, sebab seterusnya adalah menentang keras sebarang bentuk ancaman dan cubaan memainkan sentimen perkauman dan agama di kalangan rakyat sekaligus menjunjung kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kekuatan negara selama ini.

“Ini juga dapat enzahirkan semangat solidariti rakyat Malaysia yang mendambakan penyatuan ummah dan pemerkasaan integrasi kaum bagi memastikan kesinambungan kesejahteraan negara sejak merdeka lagi

“Ayuh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik untuk kita turun beramai-ramai dan berhimpun secara aman pada 8 Disember ini dengan berpakaian putih dan mengibarkan jalur gemilang,” ujarnya.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.