UMNO Hormati Keputusan MCA Tapi Tiada Hak Cadang BN Dibubar

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO menghormati keputusan MCA namun parti itu tidak mempunyai hak untuk mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) dibubarkan.

Katanya yang juga Pengerusi BN, walaupun ianya cuma satu cadangan tetapi MCA perlu tahu bahawa semua keputusan dibuat secara konsensus atau sebulat suara dalam BN.

“MCA tidak mempunyai hak untuk mencadangkan BN dibubarkan walaupun hanya satu cadangan kerana sebarang keputusan perlu dibuat secara konsensus atau sebulat suara.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Katanya, UMNO percaya pemimpin-pemimpin parti tersebut lebih mengetahui kaedah untuk memperkukuhkan parti sendiri.

“Oleh kerana ada lima buah parti maka saya akan mengadakan rundingan dan perbincangan dengan empat lagi parti-parti teras dan tentunya MCA tidak mempunyai hak untuk mencadangkan BN dibubarkan.

“Ini kerana MCA hanya memiliki satu kerusi sahaja di Parlimen, itu pun mereka mewakili kerusi yang majoritinya adalah pengundi Melayu, jadi parti tersebut harus mengetahui kedudukan sebenar jika ingin terus relevan dalam landskap politik negara,”.

Semalam, MCA mencadangkan dalam perhimpunan agungnya supaya BN dibubarkan. – MediaUMNO