UMNO Pasti Sertai Himpunan Aman 8 Dis… Bukan Demonstrasi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO pasti menyertai himpunan menolak ratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD), pada 8 Disember ini.

“Kita telah sebutkan, Pas dan pemimpin-pemimpin NGO juga telah sebutkan bahawa ianya adalah untuk meraikan kejayaan penolakan ratifikasi oleh kerajaan. Jadi tidak salah kalau kita raikan kejayaan ini.

“Ia bukan demostrasi, ia adalah himpunan aman. Ia adalah untuk meraikan kejayaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa himpunan aman terbabit jangan disamakan dengan isu rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor.

“Ia dua isu yang berbeza,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama senator-senator BN di Ibu Pejabat BN, Menara Dato Onn, hari ini.

Dilaporkan, walaupun Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak akan meratifikasikan ICERD, namun Himpunan Aman Tolak ICERD pada 8 Dis ini akan tetap diteruskan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.