Giliran Raub Laksana Himpunan Bantah ICERD, Tolak Mutlak… Tuntut Bawa Ke Parlimen

RAUB, 1 Dis – Himpunan Bantah ICERD anjuran Pemuda UMNO Raub dan Pemuda PAS Raub di Jalan Padang, Raub, semalam, berlangsung dalam suasana aman dan penuh semangat serta dihadiri lebih 1,000 orang.

Ketua Pemuda UMNO Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata himpunan tersebut diadakan dengan kerjasama Pemuda PAS Raub dan NGO-NGO Melayu Islam dari seluruh Raub, bagi menggambarkan kesatuan umat Islam di Raub dalam menolak sebarang usaha untuk meratifikasi ICERD di negara ini.

Menurut Fadzli, himpunan itu juga diadakan di dalam kawasan DUN Tras, sebagai simbolik rasa tidak puas hati masyarakat Raub terhadap kenyataan biadap ADUN DAP Tras, YB Chow Yu Hui yang begitu lantang menyokong usaha meratifikasi ICERD sekali gus mempertikai keistimewaan Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Kata Fadzli lagi, himpunan semalam penting bagi menuntut kerajaan menolak secara mutlak sebarang usaha meratifikasi ICERD dengan membawanya ke sidang Dewan Rakyat, sekaligus memastikan penolakan tersebut tertulis dalam hansard Parlimen. Usaha itu perlu agar isu ICERD tidak berbangkit lagi selepas ini.

Menurut beliau lagi, himpunan itu juga diadakan sebagai tanda penentangan berterusan terhadap sebarang tindakan yang mahu mengganggu-gugat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, bukan sahaja melibatkan ICERD, tetapi juga mana-mana Konvensyen antarabangsa yang mahu ditandatangani oleh Kerajaan selepas ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.