Tidak Perlu Takut… Keselamatan Himpunan Aman 8 Dis Ini Terkawal


KUALA LUMPUR, 29 Nov – Pengarah Koordinator Himpunan Aman Rakyat Tolak ICERD, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, hari ini berkata orang awam tidak perlu bimbang menghadiri Himpunan pada 8 Disember ini kerana kawalan keselamatan adalah terkawal.

“Unit Amal PAS telah komited menjaga keselamatan dan mereka akan dibantu oleh Pemuda UMNO melalui Unit Kesatria bagi mengawasi keadaan.

“Pihak polis juga ada untuk mengawasi kita, selain itu peserta sudah diingatkan jangan membuat tindakan provokatif atau mencipta elemen tidak harmoni, dengan langkah-langkah ini kita yakin keselamatan terkawal,” katanya dalam temuramah Diskusi U3.0 kelolaan Penerangan UMNO di PWTC.

Diskusi itu dimoderatorkan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.

Himpunan Aman Rakyat Tolak ICERD dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), sebuah badan bukan kerajaan dan dijangka disertai hampir sejuta orang.

Tajuddin berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan Unit Amal PAS kerana mereka sudah banyak kali terlibat mengawal himpunan besar seumpama ini.

Katanya, himpunan ini adalah himpunan aman untuk menyatakan kesyukuran, terima kasih dan sokongan kepada kerajaan kerana menolak ratifikasi ICERD.

Katanya, himpunan ini juga satu penyatuan ummah yang besar dan peluang sebegini jarang berlaku.

“Cuba bayangkan, selama 60 tahun UMNO dan PAS asyik bermasalah, tetapi hari ini PAS dan UMNO boleh duduk semeja, makan sepinggan. Allah dah berikan kita peluang yang sangat berharga ini dan ia tidak datang selalu. Kita perlu rebut peluang ini,” ujarnya.

Beliau berkata perpecahan yang berterusan umat Islam bukan saja merugikan orang Melayu tetapi juga rakyat negara ini.

“Kita perlu melihat himpunan 8 Disember ini secara positif. Allah sudah buka hati umat Islam untuk bersepakat dan jangan kita abaikan ini.

“Jadi apa sumbangan kita? Datanglah menyertai himpunan ini, kita bagi sokongan dari segi pemikiran mahupun jiwa kita,” kata beliau.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.