Jawapan Menteri Di Dewan Rakyat Tak Boleh Pakai? – Abdul Rahman


KUALA LIPIS, 29 Nov – Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berterusan mengamalkan dasar ‘U-Turn’.

Ini berikutan katanya, pada sidang Dewan Rakyat Oktober lalu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memberi jaminan terdapat beberapa Klinik 1Malaysia yang tidak akan ditutup termasuk di Lipis tetapi sebaliknya berlaku apabila fasiliti rakyat di kawasannya itu turut menjadi mangsa.

“Saya rasa terkilan kerana YB Menteri PH sekali lagi buat ‘U-Turn’. Dalam sesi soal jawab di Parlimen, katanya Klinik 1Malaysia di Lipis tidak akan ditutup.

“Tapi hari ini viral surat bahawa Klinik 1Malaysia di Lipis dan beberapa lagi Klinik 1Malaysia di Pahang akan ditutup.

“Adakah ini bermakna jawapan YB Menteri di Dewan Rakyat tak boleh pakai? Harap ianya tidak begitu,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis, dalam satu hantaran di facebooknya.

Abdul Rahman juga menimbulkan persoalan adakah lain-lain premis yang terbukti amat murah bagi rakyat mendapatkan rawatan kesihatan itu turut menerima nasib yang sama.

“Adakah ada lagi Klinik 1Malaysia di negeri lain yang akan menerima nasib sama?

“Salah undi, bahana mendapat… saya harap YB Menteri atau pegawainya ada terbaca ‘posting ini’ dan saya akan cuba bertemu beliau di Parlimen untuk bincangkan semula demi kepentingan rakyat,” tegasnya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut menyediakan video jawapan menteri mengenai perkara berkaitan, yang boleh diikuti di pautan https://youtu.be/n9niPAhCWbs. – Media UMNO.

https://youtu.be/n9niPAhCWbs

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.