Himpunan Aman 8 Dis Ini Bawa Suara Rakyat Agar Kerajaan PH Konsisten Tanpa Dasar ‘Flip Flop’


KUALA LUMPUR, 29 Nov – Himpunan Aman… Rakyat Tolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang bakal diadakan pada 8 Disember ini akan menjadi suara rakyat yang mahukan kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) konsisten tanpa ada lagi ‘flip-flop’.

Sehubungan itu, Pengarah Koordinatornya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk turut serta bersama-sama dalam himpunan tersebut kerana ia menyentuh kepentingan bersama khususnya yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelas Tajuddin walaupun kerajaan telah bersetuju untuk tidak meratifikasi ICERD tetapi itu hanyalah satu kenyataan yang keluar daripada pejabat Perdana Menteri tanpa direkodkan dalam Parlimen.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya mendengar suara rakyat tapi ianya hanya melalui kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri. Walaupun kerajaan telah berjanji tetapi jaminan itu tidak cukup dan ia mungkin berubah kerana masih ada pihak yang cuba mempengaruhi keputusan kerajaan ini.”

Ini kerana katanya, kerajaan baru pimpinan PH telah beberapa kali membuktikan keputusan mereka tidak konsisten apabila sering membuat ‘u-turn’ maka sebab itulah keputusan berkaitan ICERD ini perlu direkodkan.

“Kita tidak mahu kerajaan buat ‘u-turn’… ‘flip-flop’…, sebab itu kita mendesak agar perkara ini dibawa ke Parlimen untuk direkodkan supaya ia menjadi sahih dan muktamad,” tegas beliau lagi.

Kata Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, himpunan tersebut juga adalah lambang penyatuan rakyat keseluruhannya yang mahu kerajaan bertegas terhadap pihak yang cuba meminda Perlembagaan Persekutuan.

“Orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa… Melayu, Bumiputera, Cina dan India patut menyokong himpunan ini kerana ia adalah himpunan rakyat. Selama ini kita saling menghormati antara satu sama lain, kita hormat mereka dan mereka hormat kita jadi marilah bersama-sama dalam himpunan aman yang berintegriti dan tidak mengancam sesiapa ini.

“Ini perhimpunan aman… bukan seperti yang dulu (Bersih)… himpunan ini boleh jadi himpunan pelbagi kaum yang menyatakan satu suara. Berilah sokongan dan sama-sama hadir dalam himpunan ini,” ujar beliau dalam bual bicara Diskusi U3.0 yang membicarakan topik ‘Himpunan Aman… Rakyat Tolak ICERD’ malam tadi.

Tegas Tajuddin, himpunan ini juga akan menjadi bukti kepada pihak luar bahawa rakyat Malaysia boleh bersatu menentang sebarang ancaman.

“Kita tidak mahu lagi dipecah-pecahkan oleh sesiapa. Selama ini kita terpecah kepada empat-lima puak sehingga kita lemah, maka untuk dapatkan balik kekuatan, inilah caranya… kita mesti bersatu dari segi minda dan spiritual… pergi kepada satu hala tuju.

“Melayu Islam dan Bumiputera boleh bersatu dan tidak mengancam mana-mana agama lain. Kita bersatu bersama bangsa lain juga. Kita hendak beri mesej bahawa tidak perlu takut… jangan ada rasa bimbang. Kita semua pihak boleh hidup dengan aman, dari ekonomi, pelancongan… teruskan… tiada sekatan, tiada ancaman… jadi kenapa perlu risau… kenapa takut dengan himpunan ini.

“Himpunan ini untuk penyatuan dan perpaduan, bukan untuk takutkan sesiapan jadi kenapa takut dengan penyatuan rakyat?” soal beliau.

Sebelum ini siri himpunan aman menolak ICERD telah dilakukan di beberapa negeri yang berlangsung dengan aman selain laporan polis dan gesaan pelbagai pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO).

Diskusi U3.0 ini bersiaran secara langsung melalui platform media sosial facebook UMNO-Online yang dimoderatorkan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid. – MediaUMNO

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.