Gerakan Guling Menteri Besar Perak : Saarani Ada Bukti Kukuh, Tidak Takut Dipanggil Polis


IPOH 29 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sedia dipanggil polis setelah Pakatan Harapan (PH) Perak membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau wujud gerakan mahu menggulingkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, beliau tidak takut malah bersedia untuk memberi keterangan kepada polis kerana mempunyai bukti kukuh mengenai gerakan Exco kerajaan negeri yang cuba menjatuhkan Menteri Besar.

Begitupun Saarani mengingatkan Ketua Sekretariat PH Perak. V. Sivakumar yang membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur semalam harus sedia untuk menanggung risiko.

“Apabila dia buat laporan polis, jangan terkejut kerana pada akhirnya polis mendapati apa yang saya sebutkan itu terkena pada salah seorang daripada orang dia (PH). Sudah tentu polis akan ambil tindakan, dia (Exco yang berkenaan) akan dipanggil, dia kena mengakulah dia buat atau tak buat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Saarani mengingatkan Pakatan Harapan bahawa beliau tidak akan berhenti daripada bercakap mengenai perkara itu walaupun laporan polis telah dibuat.

Menurutnya, ia bukan isu UMNO, ia adalah masalah pemimpin PH yang berantakan sesama sendiri.

“Jangan anggap apabila laporan polis dibuat ia nak mengugut saya dan rakan-rakan pembangkang supaya kami berhenti daripada menimbulkan hal ini. Kita tidak takut sebab yang kita sebut berasaskan kepada fakta-fakta dan peristiwa-peristiwa benar,” katanya.

Sementara itu, Saarani mendakwa Exco kerajaan negeri yang terlibat dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar tidak serik sebaliknya mahu meneruskan usahanya.

Saarani berkata, sehingga semalam Exco yang berkenaan masih lagi berani untuk cuba memujuk wakil rakyat UMNO dengan tujuan menyokong undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.

“Dia (Exco yang berkenaan) nak teruskan juga. Orang berkenaan nak teruskan usaha-usaha dia, tapi saya tak boleh beritahu cara dia memujuk ADUN UMNO. Kita berharap apabila sampai peringkat ini orang berkenaan faham dan sepatutnya ‘stop’lah (berhenti), rupa-rupanya tidak. Dia pun tak takut, dia nak teruskan,” katanya. – Utusan Online