PM, Sila Ambil Tindakan Terhadap Pemimpin PH Yang Suka Gugat Keharmonian Kaum – Zahida


KUALA LUMPUR, 27 Nov – Puteri UMNO mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar mengambil tindakan segera terhadap beberapa pemimpin mereka yang sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mampu mengganggu-gugat keharmonian kaum di negara ini.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan juga mempersoalkan apakah tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terutamanya kepada menteri yang menjadi punca kepada perpecahan rakyat.

“Kami memantau dekat isu pertembungan antara masyarakat India pertahankan kuil dan pihak pemaju yang menggemparkan negara satu dua hari ini. Keadaan menjadi lebih tegang selepas Menteri ‘Perpecahan’ (Waytha Moorty) mengeluarkan kenyataan menyalahkan pihak PDRM menjadi punca rusuhan tidak terkawal.

“Api yang marak seperti disimbah petrol apabila seorang lagi pemimpin Dap mengeluarkan kenyataan ‘tersalah tatabahasa’ menuding jari kepada orang Islam,” tegas Zahida dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Zahida lagi, kesannya adalah keharmonian kaum dan ketenteraman awam yang dipelihara oleh kerajaan sebelum ini hampir musnah hanya dalam masa enam bulan sahaja PH memerintah.

Bukan itu sahaja, kata Zahida lagi, orang yang tidak bersalah seperti anggota Bomba bertugas cedera parah hingga dimasukkan ke ICU selepas diserang serta seorang wanita muda bernama Yuna Yuna (di dalam Facebook) dilaporkan turut menjadi mangsa keganasan dan kenderaannya dirosakkan.

“Justeru itu kami Puteri UMNO Malaysia desak pihak kerajaan ambil serius dan selesaikan isu ini segera.

“Kami rindukan keamanan dan keharmonian kaum seperti sebelum ini. Mohon semua bertenang, patuh kepada undang-undang dan arahan pihak berkuasa,” ujarnya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.