Himpunan Aman 8 Disember : Kenapa Ada Pihak Cuba Buat Provokasi Dan Fitnah Melampau?


KUALA LUMPUR, 27 Nov – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris berkata, ada pihak kini yang cuba melakukan provokasi dengan mendakwa bahawa kononnya akan berlaku rusuhan kaum dengan menuduh UMNO dan Pas sebagai parti ektrimis Islam yang akan mencetuskan huru hara pada himpunan ummah pada 8 Disember ini.

Menurut beliau, perhimpunan ummah yang bakal diadakan secara besar-besaran pada 8 Disember ini merupakan satu perhimpunan aman, seperti mana perhimpunan-perhimpunan yang diadakan sebelum ini kecuali jika adanya provokasi yang dilakukan oleh pihak tertentu.

“Setakat ini, sudah berlangsungnya beberapa perhimpunan di seluruh negara, namun ianya berjalan dengan aman tanpa sebarang kejadian-kejadian yang tak diingini berlaku. Begitu jugalah dengan perhimpunan 8 Disember ini, saya kira ia juga akan berlangsung secara aman sekiranya tidak ada sebarang provokasi oleh pihak tertentu di masa perhimpunan tersebut.

“Tindakan pihak yang cuba menyebarkan infografik berbaur perkauman itu adalah satu usaha untuk menakut-nakutkan rakyat serta untuk memburukkan imej dua parti terbesar yang mewakili umat Melayu dan Islam iaitu UMNO dan Pas yang akan bersama-sama rakyat dalam perhimpunan menolak ICERD pada 8 Disember ini.

“Mungkin ada pihak merah mata apabila rakyat bangkit bersatu menentang ICERD ini sehingga menyebabkan mereka membuat fitnah dan tohmahan terhadap perhimpunan pada 8 Disember ini,” jelasnya.

Kata Najmil, perhimpunan pada 8 Disember ini dan perhimpunan yang berlaku sebelum ini merupakan satu manifestasi kemarahan rakyat, khususnya orang Melayu terhadap kerajaan yang dilihat berusaha untuk meratifikasikan ICERD yang secara jelas melanggar perlembagaan negara sekiranya ia dilaksanakan.

“Disebabkan kedegilan kerajaan, serta kenyataan flip-flop daripada kepimpinan kerajaan hari inilah yang menyebabkan berlakunya perhimpunan sedemikian. Kerajaan BN sebelum ini telah menolak sebarang usaha untuk meratifikasikan ICERD kerana ia jelas bertentang dengan perlembagaan negara.

“Walaupun kerajaan ada membuat kenyataan menolak ICERD ini, namun kenyataan yang dibuat di pihak kerajaan berhubung perkara ini amat tidak meyakinkan. Apa pun himpunan aman 8 Disember depan dilihat sebagai penzahiran kepada kecintaan suasana aman dan harmoni yang selama ini dinikmati oleh rakyat Malaysia ” tegasnya lagi.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.