Pemuda Rakam Dukacita Insiden Di Kuil Seafield, Bidas Exco Selangor Salahkan Orang Islam

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Pemuda UMNO hari ini melahirkan rasa sedih serta dukacita berhubung  kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya awal pagi tadi  dan melihat perkara tersebut  amat tidak wajar kerana ianya tidak menggambarkan suasana sebenar di negara ini  yang hidup penuh penghormatan agama serta kaum.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pada masa yang sama pergerakan itu turut mengutuk sekeras-kerasnya  tindakan Exco Selangor, V. Ganabatirau berhubung insiden terbabit.

“Kami  mengutuk sekeras-kerasnya  tindakan exco berkenaan yang menyalahkan orang Islam….yang mencetuskan ketidakharmonian di kuil tersebut sedangkan kita tahu ianya bukan masalah kaum mahu pun agama sebaliknya masalah antara penganut hindu di kuil berkenaan dengan pemaju atau pemilik tapak kuil tersebut.

“Justeru Pemuda UMNO menggesa pihak Polis menyiasat dakwaan yang mengatakan pemaju ini menggunakan samseng-samseng tidak kira sesiapa sahaja. Justeru dakwaan Exco Dap berkenaan adalah amat mendukacitakan kerana seolah-olah ingin mengapi-apikan perkauman,’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Tegas Dr Asyraf selama ini UMNO dikatakan rasis sedangkan parti berkenaan tidak pernah memainkan sentimen agama serta perkauman malah sepanjang memerintah ianya telah  berjaya menjadikan negara ini aman dan harmoni antara agama dan kepelbagain kaum.

“Bayangkan bagaimana seorang pemimpin boleh mencetuskan provokasi sedemikian. Kalau orang Melayu bertindak dengan tidak wajar mengambil kata-kata berkenaan di luar batasan, saya rasa ianya akan mencetuskan ketegangan kaum sedangkan ianya tidak ada kaitan dengan kaum mahu pun agama.

“Jangan mencetuskan suasana dan mengapi-apikan lagi perkara ini dan sebab itulah kami pergerakan Pemuda kami amat dukacita dengan apa yang berlaku dan kita harus menghentikan terus sebarang bentuk provokasi mahu pun andaian dan juga sentimen yang berkaitan dengan perkara ini,” tambahnya. –MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.