Himpunan 8 Disember Ini Himpunan Aman Rakyat Cintakan Keamanan – Dr Asyraf


KUALA LUMPUR, 26 Nov – Himpunan aman 8 Disember depan dilihat sebagai penzahiran kepada kecintaan suasana aman dan harmoni yang selama ini dinikmati oleh rakyat Malaysia, demikian menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Justeru beliau menyeru seluruh rakyat serta pelbagai pendokong  parti politik baik UMNO mahupun Pas serta NGO lain untuk turun bersama-sama dengan berpakaian putih tanpa membawa lambang parti dan sebagainya.

“Penyokong PH, PPBM, Dap, PKR dan Amanah saya sarankan kita semua pakai putih sebagai tanda lambang kecintaan kepada negara ini. Bawa bendera Malaysia dan kita bukan mewakili mana-mana parti sebaliknya mewakili rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan harmoni. Saya percaya sekretariat juga setuju dengan tema ini dan kita mahu perkara itu diwar-warkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Dr Asyraf seterusnya menambah pergerakan itu juga telah bersetuju mewujudkan Briged Kesatria Muda untuk bersama-sama dengan Jabatan Amal Malaysia Pas bagi memastikan keamanan dan keselamatan semua rakyat yang berhimpun pada hari berkenaan.

“Kalau ada unsur-unsur provokatif, sepanduk-sepanduk yang memainkan sentimen agama, sebarang senajata yang dibawa kita akan bawa kepada Pihak polis. Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan itu adalah komitmen Pemuda untuk memastikan rakyat boleh berhimpun dengan aman dan harmoni,” tegasnya.

Tambah beliau pihaknya membantah apa juga usaha-usaha untuk mencetuskan sebarang unsur-unsur yang boleh memporakporandakan keamanan dan keharmonian pelbagai agama dan pelbagai kaum.

“Salah satunya ICERD…ini  adalah kerana  inisiatif kerajaan PH yang ternyata bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan tetapi mampu merobek keharmonian dan meruntuhkan keamanan yang selama ini kita capai.

“61 tahun semenjak UMNO dan BN memerintah negara tidak pernah ada isu ketidakharmonian kaum dan agama selain kita boleh hidup aman serta stabil malah pelabur boleh datang dan negara juga boleh melonjak membangun tanpa perlu meratifikasi ICERD dan juga apa juga konvensyen antrabangsa yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia tetapi hakikatnya tidak cucuk dengan acuan negara kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Asyraf turut memberitahu pergerakan itu telah pun menubuhkan jawatankuasa untuk menggerakkan kerja-kerja awal berhubung persiapan Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Walaupun UMNO belum membuat sebarang keputusan untuk merayu atau pun tidak tetapi kita sudah pun bergerak awal dan menubuhkan jawatankuasa untuk menggerak gerak kerja dalam PRK berkenaan.

“Naib Ketua Pemuda, Shahril Hamdan telah dilantik sebagai Pengerusi Jentera PRK Pemuda dan kita akan berbincang dengan rakan-rakan komponen lain bagi melicinkan lagi agenda ini,” katanya.

Berhubung kerjasama antara Pemuda UMNO dan Pemuda Pas, beliau memaklumkan ianya akan diteruskan sebagai pembangkang yang efektif khususunya dalam menyelami dan melihat isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat seluruhnya. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.