Zahid Sekali Lagi Tegaskan Kenyataan Mengenai ICERD Perlu Direkodkan Di Parlimen


KUALA LUMPUR, 25 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini sekali lagi menegaskan bahawa kenyataan kerajaan mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) perlu dibawa ke dalam Parlimen untuk di rekodkan di dalam hansard rasmi

Menurut beliau kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan berhubung perkara tersebut bukan sahaja tidak mengikut formaliti pentadbiran, tiada tandatangan untuk diambil satu kenyataan yang bertanggungjawab, berkesan dan boleh dilaksana.

“Saya telah buat kenyataan balas spontan terhadap kenyataan akhbar berkenaan. Saya telah keluarkan kenyataan bahawa kenyataan akhbar sedemikian hanya boleh disahkan melalui tandatangan Perdana Menteri sendiri dan kemudiannya membawa usul tersebut ke dalam Parlimen untuk direkodkan di dalam hansard rasmi.

“Walau bagaimanapun sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membuat pendirian yang selari dengan kehendak majoriti rakyat. Kita tetap alu-alukan keputusan tersebut dan kita tetap mahu ianya dimaktubkan di dalam hansard Parlimen demi menjaga kedaulatan negara serta mengambil kira kedinamikan realiti sosio-politik dan budaya negara ini,” katanya pada Kongres Menolak ICERD, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini. hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Turut serta Ketua Penerangan Pas, Nasaruddin Hassan. Kongres tersebut berlangsung sehari dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO).

Ahmad Zahid seterusnya memberi jaminan selagi beliau diberi kepercayaan untuk memikul amanah dan tanggungjawab memimpin parti, UMNO akan tetap menolak ratifikasi ICERD.

“Saya berjanji selagi saya diberi amanah untuk memimpin parti, insya-Allah saya akan memastikan UMNO tetap menolak ratifikasi ICERD ini kerana kesannya amat besar terhadap Melayu dan bumiputera serta masyarakat yang ada dalam negara ini.

“Kita sudah merdeka pada 1957, jangan kita bawa balik penjajah dengan satu lagi perjanjian antarabangsa seperti ICERD ini. Tidak ada sebab untuk kita serahkan pentadbiran negara kita untuk diperkotak-katikkan oleh masyarakat antarabangsa. Negara kita, kita bina dengan acuan kita sendiri, kenapa perlu kita minta orang lain tentukannya,” tambahnya.

“Sekiranya kerajaan hari ini menolak untuk meratifikasi ICERD pada kali ini, bukan bererti mereka tidak akan buat pada masa hadapan. Kita tidak mahu mereka umum tolak ratifikasi hari ini tetapi di masa depan mereka diam-diam pergi ratifikasi kerana janji dan komitmen telah dibuat di peringkat antarabangsa termasuk di United Nation Generasl Assembly (UNGA) dan sebagainya sebelum ini,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.