Bukan Saja Janji Tak Ditunaikan, Peminjam PTPTN Pun Terus Tertekan – Shamsul Anuar

JELEBU , 24 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tangga gaji RM1,000 yang dikenakan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukan sahaja memperlihatkan Pakatan Harapan (PH) tidak menunaikan janjinya sebelum ini malah menunjukkan mereka tidak prihatin kepada golongan berkenaan.

Sedangkan menurut beliau sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) perkara tersebut dicanang dan berterusan sehingga (PRU-14) yang lalu dan akhirnya mandat telah diberikan kepada mereka.

“Dulu janji apa pada PRU-13….kalau menang akan hapuskan hutang… apa berlaku kemudiannya merosot kutipan…pilihan raya baru ni apa dia janji. Kalau menang mula bayar tangga gaji RM4,000. Sebab itu anak-anak muda antaranya terpengaruh dengan janji ini.

“Namun apabila menang sebaliknya berlaku…mula bayar ditangga gaji RM1,000. Mereka naikkan gaji minima daripada RM1,050 kepada RM1,100 tetapi mula bayar PTPTN di tangga gaji RM1,000.

“Zaman kita memerintah dahulu kita tidak buat sebegitu rupa kerana kita tahu pelajar yang baru keluar universiti mahu memulakan kehidupan. Kalau gaji RM1,000 nak bayar macam mana…kita fikir itu semua, tetapi kerajaan hari ini sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bicara Bersatu, Bersetia, Berkhidmat di Bangunan UMNO Jelebu, di sini, hari ini. Turut serta Ketua UMNO Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Kata Shamsul lagi yang juga bekas Pengerusi PTPTN, kerajaan hari ini lebih kepada soal-soal lain-lain seperti soal berenang serta perbincangan lain.

“Sebab itu apa yang mereka janjikan dahulu mereka tidak buat…yang mereka buat hanya hapuskan GST dan itulah menjadi punca kerajaan hari ini tidak ada wang. Apabila ini berlaku maka banyak perkara yang dijanjikan kepada rakyat tidak dapat ditunaikan,” jelasnya.

Tambahnya lagi bercakap soal pendidikan percuma, sejak zaman dahulu lagi perkara berkenaan menjadi tumpuan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukti yang jelas adalah pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

“Sebelum ini dan daripada dahulu lagi pendidikan percuma dah. Sekolah rendah hingga menengah. Kalau ada yang mengatakan yuran kena bayar pula itu adalah yuran PIBG dan ianya bergantung kepada keputusan mesyuarat bersama antara pihak sekolah dan ibu bapa.Hakikatnya daripada darjah satu hingga menengah percuma.

“Hakikatnya juga kerajaan BN sebelum ini 90 peratus pembiayaan di universiti telah ditanggung oleh kerajaan pada waktu itu. Kita tidaklah bercerita pasal kolam renang…kasut hitam dan sebagainya. Tempat saya tidak ada hotel dan yang ada Sungai Perak. Saya susah hati…kita tidak macam tu dengan cadangan yang pelik-pelik,” ujarnya lagi. – MediaUMNO