Pecat Menteri : Lagi Laporan Polis Di Seluruh Negara, Kerajaan PH Digesa Bertindak

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Gesaan terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menuntut tindakan memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy terus dibuat yang membabitkan laporan polis di seluruh negara.

Hari ini, Pergerakan Wanita UMNO telah membuat laporan polis di seluruh negara terhadap menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal perpaduan dan kesejahteraan sosial itu susulan rakaman video kenyataan pemimpin berkenaan yang disifatkan keterlaluan dan mengundang perpecahan kaum di negara ini.

Semua 191 bahagian melibatkan Wanita UMNO di seluruh negara telah membantah sekeras-kerasnya kenyataan Waytha Moorthy itu yang dianggap bersifat perkauman dan berniat jahat.

Desakan ini berikutan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang menimbulkan polemik dan kontroversi.

Dilaporkan, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mempertahankan tindakan Waytha Moorthy berhubung video tular mengenai wawancaranya di Belanda kira-kira 10 tahun lalu.

Dr Mahathir dipetik berkata, rakyat perlu memberi peluang kepada beliau menjalankan tugasnya sebagai anggota Kabinet.

Malah kata Dr. Mahathir, petisyen yang menggesa Waytha Moorthy meletak jawatan bukan satu keperluan dan arahan daripada beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.