Jangan Samakan Himpunan Aman Bantah ICERD Dengan Bersih – Tajuddin Rahman

KUALA LUMPUR, 23 Nov – “Jangan samakan himpunan aman bantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dengan himpunan Bersih,” tegas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Jelas beliau, perhimpunan Bersih yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan (PH) dahulu semasa menjadi pembangkang adalah satu perhimpunan yang hiruk-pikuk, mengganggu-gugat kepentingan awam dan provokasi.

“Ini jauh berbeza dengan perhimpunan aman bantah ICERD. Perhimpunan ini tidak ada provokasi kepada kaum, tidak menghentam mana-mana kaum… jadi bila tidak ada provokasi mengapa kerajaan perlu bimbang adanya rusuhan dan pergaduhan… tidak ada… kalau nak ‘bergaduh’ pun dengan kerajaan sahaja. la sebab kerajaan yang mahu tandatangani ICERD.

“Jadi, jangan salah anggap. Perhimpunan aman ini adalah dari semua lapisan masyarakat bukan sahaja dari golongan orang politik tetapi rakyat biasa yang beragama Islam. Tidak ada tujuan untuk mengganggu-gugat mana-mana pihak,” ujar beliau ketika ditemui oleh UMNO-Online di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Tajuddin, Islam, Bumiputera serta anak-anak Sabah dan Sarawak berhak untuk bersuara apabila mereka menyedari ratifikasi ICERD bakal membawa kesan buruk kepada mereka.

“Kalau ada kesan buruk sudah pasti mereka ini ada hak untuk menolaknya dan bagaimana mahu menolaknya? Adalah melalui bersuara dan bukan bersuara berseorangan tetapi berkumpulan.

“Seluruh rakyat yang berasa akan menerima kesan buruk daripada ratifikasi ICERD ini perlu bangkit dan menunjukkan bantahan. Bukan untuk bergaduh tetapi untuk menunjukkan bantahan,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.