UMNO Junjung Kasih Ketegasan Sultan Selangor Angkat Bahasa Kebangsaan – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 22 Nov – UMNO menjunjung kasih kepada ketegasan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang begitu prihatin berkaitan perlaksanaan bahasa Kebangsaan di papan tanda, kata Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.

Dua hari lalu, Baginda telah menitahkan supaya semua papan tanda di Shah Alam yang mempunyai tulisan bahasa Cina ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan dengan satu bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu.

Ujar Noh, bukan sahaja hanya bahasa kebangsaan harus digunakan di papan tanda tetapi juga untuk nama taman-taman perumahan.

“Semasa saya menjadi Menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dahulu, kita pernah membincangkan hal berkaitan nama taman perumahan agar menggunakan bahasa kebangsaan… tidak perlu guna nama barat yang seolah-olah negara ini tidak ada nama yang boleh dibanggakan budaya dan bahasa kebangsaan sendiri.

“Saya tahu ini dibawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jadi saya harap perkara ini akan dipertimbangkan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila papan tanda dual bahasa dinaikkan di sekitar Shah Alam.

Ekoran daripada itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah bertitah dan menetapkan bahawa semua papan tanda yang mempunyai dual bahasa di Shah Alam mesti dikeluarkan dan digantikan dengan bahasa yang hanya menampilkan bahasa kebangsaan.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah, Datuk Mohamad Munir Bani berkata demikian dalam satu surat kepada kerajaan Negeri Selangor yang bertarikh 19 November.

Surat itu menyatakan bahawa semua papan tanda bahasa Cina di Shah Alam mesti dikeluarkan dan digantikan dengan hanya satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu.

“Operasi untuk mengubah papan tanda jalan mesti dilakukan dengan serta-merta dan disiapkan paling lambat sebelum Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-73 pada 11 Disember,” kata Mohamad Munir dalam satu kenyataan baru-baru ini. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.