Dap, Hindraf Jangan Robek Fabrik Sosial Dan Perpaduan Kaum – Annuar Musa


KUALA LUMPUR, 22 Nov – UMNO memandang secara serius terhadap situasi semasa di negara ini yang dilihat semakin tidak harmonis.

Jelas Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, ini terjadi angkara aksi dan reaksi politik polarisasi yang cuba dibawa oleh badan-badan seperti Dap, Hindraf serta pihak-pihak tertentu yang tidak menghormati sensitiviti kaum dalam negara ini.

“Cara ‘Malaysian Malaysia tajaan Dap’ hanya akan merosakkan fabrik sosial dan perpaduan kaum yang terbina selama ini. Usaha kesamarataan cara sosialis Dap, terutamanya percubaan menghapuskan dasar Bumiputera seperti terpahat dalam Perlembagaan negara adalah terlalu merbahaya bagi Malaysia.

“Percubaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah bukti usaha Dap dan Hindraf menghakis kedaulatan Perlembagaan negara,” tegas Annuar dalam satu hantaran di facebooknya, hari ini.

Justeru katanya UMNO, MCA malah juga MIC perlu duduk secara ‘adik-beradik’ meneliti secara mendalam bagaimana isu yang tersangat penting ini dapat diperjuangkan bersama sesuai dengan landskap baharu politik tanah air.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Annuar yang telah menerima syor dari MCA untuk mengadakan pertemuan bersama saf kepimpinan baharu parti tersebut menganggap ia satu keutamaan kerana melibatkan pembinaan masa depan masyarakat negara ini.

“UMNO menganggap ini satu keutamaan dan akan segera diatur awal minggu depan, Insya-Allah Isnin. Pertemuan tertutup ini dalam suasana ‘adik-beradik’. Ianya juga amat penting terutama untuk sama-sama memikirkan masa depan masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Cina dan Melayu/Bumiputera di Malaysia yang sama-sama kita asaskan dan perjuangkan sekian lama.

“Keharmonian dan kesejahteraan dua kelompok terbesar ini amatlah penting dan menjadi keutamaan kedua-dua parti,” katanya.

Tambah Annuar lagi, UMNO dan MCA terus komited kepada politik kebersamaan, muhibbah, kesederhanaan, toleran serta ‘coexistence’ yang telah dibina dan dipupuk bersama sejak sekian lama.

“Semangat dan falsafah ini akan sama kita teliti untuk ianya diberi nafas baru serta dapat menjamin perpaduan nasional yang tulen demi kepentingan bangsa Malaysia,” ujarnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.