Gabungan UMNO Dan Pas Hanyalah Gabungan Tenaga Dan Bukannya Parti – Annuar Musa
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat tidak perlu keliru apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan mahu bergabung dengan parti Pas kerana maksud ‘bergabung’ tersebut adalah bergabung tenaga dan bukannya bergabung parti.
Jelas beliau, adalah lebih strategik UMNO dan Pas kekal sebagai entiti berasingan dengan dasar dan ideologi masing masing tetapi dalam masa yang sama meningkatkan kerjasama bersama berdasarkan isu dan perkara yang difikirkan sesuai.
“Apa yang Datuk Seri Zahid katakan adalah bergabung dalam bentuk tenaga dan bukannya parti. Kita bekerjasama dengan Pas atas isu dan perkara yang sependapat kerana ada juga isu yang kita tidak bersependapat.
“Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi juga kita sudah bagi persetujuan untuk UMNO bekerjasama dengan Pas dan mana-mana parti,” ujar beliau ketika ditemui oleh pihak media di lobi Parlimen hari ini.
Tambah Annuar, sekiranya ‘merger’ yang dicari oleh UMNO seharusnya UMNO memikirkan untuk ‘merger’ dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana itu lebih sesuai memandangkan kedua-dua parti adalah ‘Bumiputera Base’.
“Tetapi UMNO perlu terima hakikat bahawa kita sekarang ini adalah pembangkang maka lebih baik UMNO belajar membina kekuatan dan daya tahan sendiri.
“Ingin saya tegaskan di sini, bentuk baru BN masih jauh dan sangat bergantung kepada banyak perkara yang berlaku dan saya juga berani katakan keadaan PH pun tidak semestinya (kuat) begitu,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO