Laporan Polis Dibuat, Gesa Siasat Menteri PH Tular Video Burukkan Negara

MELAKA, 19 Nov – Pemuda UMNO menggesa agar satu kertas siasatan dibuka segera ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy, berikutan tular video lama beliau selaku pemimpin utama pertubuhan radikal Hindraf memburuk-burukkan negara kepada negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berupa fitnah.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka, Dr. Akmal Saleh yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Jasin telah membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau di sini.

Katanya, dalam video berdurasi 2 minit 39 saat itu, Waytha Moorthy menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik dan melakukan penindasan teruk kepada kaum-kaum dan penganut agama lain, antaranya merobohkan kuil-kuil hindu dan menafikan hak asasi kaum lain di Malaysia.

“Sebagai menteri yang sepatutnya mempromosi perpaduan kaum dan pelbagai agama, beliau lebih cenderung untuk membangkitkan isu-isu yang mampu mencetus gelodak kemarahan rakyat dan membangkitkan api permusuhan di antara kaum.

“Kenyataannya juga mampu merobek kesejahteraan hidup rakyat pelbagai kaum di Malaysia yang telah lama terpelihara sekaligus mampu mengundang pelbagai impak negatif di antara rakyat negara ini,dan sampai ke saat ini beliau masih lagi tidak menarik semula kenyataan yang telah dibuat oleh beliau.”

Oleh yang demikian, Pemuda UMNO bahagian Jasin membuat laporan polis agar siasatan pihak berkuasa dapat dijalankan dengan kadar segera untuk menyiasat kenyataan berunsur fitnah yang telah dibuat seperti yang terkandung di dalam video tersebut.

“Jika kenyataan itu ternyata fitnah dan berniat jahat, maka kami memohon pihak berkuasa segera mengambil tindakan undang-undang dan menghentikan usaha penyebaran fitnah sebegini yang akan menjejaskan nama baik negara dan mengganggu gugat nikmat keharmonian hidup rakyat negara Malaysia tercinta ini,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.