Warden Bekas Tentera Di Semua 58 MRSM Bermula 1 Jan 2027
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memulakan perlaksanaan melantik warden-warden sepenuh masa dari kalangan bekas tentera di semua 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula 1 Januari 2027.
Demikian kata pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu perkongsian di laman Facebook dan Threads.

“Sebagai permulaan 10 MRSM akan mulakan inisiatif ini bermula 1 Julai depan setelah proses pemilihan dan penyaringan dilakukan sepanjang bulan Jun ini,” kata Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO.
Ujarnya lagi, hasil kajian pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan projek rintis yang menempatkan warden sepenuh masa dari kalangan bekas Tentera di MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau telah berjaya meningkatkan tahap disiplin pelajar bahkan mencapai sifar buli.
“Moga usaha ini mampu meningkatkan lagi prestasi kecemerlangan MRSM dan sekaligus melahirkan generasi pelajar yang seimbang dan holistik dari segenap aspek,” katanya.
Dilaporkan pada Khamis, Dr Asyraf telah menerima secara rasmi laporan lengkap Kajian Keberkesanan Projek Rintis Perlantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera yang dilaksanakan di MRSM Besut dan Balik Pulau daripada Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman.

Ulasnya, antara dapatan utama kajian yang dicatatkan dalam buku laporan setebal 191 muka surat itu adalah seperti warden bekas tentera berkesan mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama selain penerimaan positif daripada pelajar, ibu bapa serta pentadbir.
Selain itu, kehadiran warden yang kerap dan sistematik meminimumkan ruang berlakunya buli, vandalisme, pelajar juga merasa selamat dan lebih berdisiplin dalam mematuhi waktu, kekemasan diri, asrama, mencanai nilai hormat serta adab.
Begitu juga, kehadiran warden dari kalangan bekas tentera turut mengurangkan beban guru dan tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik.
Hasil dapatan juga menunjukkan penurunan drastik isu-isu yang terkait dengan masalah disiplin pelajar, malah isu buli sepanjang keberadaan warden ini hampir sifar.
Dr Asyraf turut meminta pihak UPM untuk bekerjasama bagi menyediakan modul latihan kepada warden-warden baharu dan melanjutkan kajian mengenai isu buli mental secara holistik. – UMNO ONLINE
