Jika Setuju Ratifikasi ICERD… Mengapa Minta Iktiraf UEC?


MELAKA, 19 Nov – Tindakan Kerajaan Negeri Melaka menolak usul yang dibawa oleh Ketua Pembangkang untuk membahaskan isu ICERD di dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini atas alasan tidak mahu melangkaui keputusan Kerajaan Pusat dipersoal lantaran sebelum ini mereka mendahului kerajaan Pusat apabila mengiktiraf Sijil UEC berkaitan syarat penjawatan di dalam negeri.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka, Dr. Akmal Saleh berkata, keputusan yang diambil oleh Speaker DUN Melaka yang menolak usul isu ICERD dihormati tetapi mereka perlu menjawab beberapa persoalan berkaitan.

“Jika dalam hal UEC Kerajaan Negeri Melaka mendahului keputusan Kerajaan Pusat, mengapa isu ICERD ini tidak diberikan keutamaan sedangkan ia melibatkan isu yang paling penting mengenai hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang termaktub di dalam Perlembagaan negara?


“Jika wakil rakyat Dap begitu hebat menyokong ratifikasi ICERD dengan semangat untuk mendapatkan hak sama rata sesama kaum di Malaysia ini, mengapa Dap begitu lantang mempertahankan isu UEC dan menolak sekolah satu aliran?” soal beliau.

Tegasnya, jika mereka ikhlas untuk mendapatkan hak sama rata, ia perlu dilakukan kepada semua kaum bukan semata- mata mempertahankan hak kaum sendiri tetapi pada masa yang sama ingin menentang hak kaum lain yang termaktub di dalam Perlembagaan negara?

“Saya mohon agar persoalan ini dapat dijawab oleh pihak yang terlibat supaya rakyat mendapat jawapan yang sebenar.

“Adakah disebalik keputusan yang diambil ini sebenarnya ada udang di sebalik batu atau sebaliknya?” katanya lagi.

Dalam sidang DUN Melaka, Speaker telah menolak usul yang dibawa oleh Ketua Pembangkang untuk membahaskan isu ICERD dan telah mendapat sokongan wakil rakyat Pakatan Harapan yang majoritinya adalah daripada Dap. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.