UMNO Haram, Lompat Parti Isu Sekadar Kelirukan Ahli UMNO – Ismail Sabri


KUALA SELANGOR, 18 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan pihak tertentu yang menjaja pelbagai isu berkaitan UMNO termasuk isu lompat parti di kalangan ahli parlimen bertujuan untuk mengeliru dan melemahkan UMNO semata-mata.

Menurut beliau ahli parti seharusnya menolak dan tidak mudah mempercayai segala desas-desus berkenaan sebaliknya sama-sama bekerja keras untuk terus memperkukuhkan parti dan apa yang penting masing-masing bersatu.

“Macam-macam yang dijaja dan hari-hari dijaja di peringkat akar umbi. Soal pengharaman parti…begitu juga dakwaan mengatakan 40 ahli parlimen UMNO akan lompat…tidak betul.

“Tanya Tan Sri Noh..kita berjumpa setiap minggu di Parlimen. Takkanlah orang macam Tan Sri Noh Omar yang kuat prinsip ini tiba-tiba nak melutut dengan parti mereka dan keluar melompat. Tidak mungkin…hero kita bukan setakat di Selangor, malah hero Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Presiden Bersama UMNO Selangor di sini, hari ini.

Justeru tegas Ismail janganlah ahli dan pimpinan pelbagai peringkat mudah mempercayai isu-isu sedemikian rupa yang hanya bertujuan untuk mengelirukan akar umbi.

“Kita sedar rakyat mengharapkan pembelaan daripada kita dan sama sekali tidak akan meninggalkan rakyat dan meneruskan perjuangan,’ ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.