Tidak Akan Ada Sebarang Unsur Tidak Diingini Pada Perhimpunan Ummah 8 Dis Ini – Zahid

KUALA SELANGOR, 18 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan tidak akan ada sebarang perkara yang tidak diingini malah tidak akan menjurus ke arah sebarang rusuhan berhubung perhimpunan ummah pada 8 Disember nanti.

Menurut beliau perhimpunan tersebut yang akan turut disokong oleh NGO-NGO serta persatuan lain dan rakyat Malaysia keseluruhannya hanyalah untuk memperjuangkan serta mempertahankan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan semata-mata.

“Kita bukan minta lebih daripada apa yang ada di dalam Perlembagaan. Empat perkara di dalam Perlembagaan dipertahankan iaitu agama Islam, Melayu, Raja-Raja Melayu dan sebagainya.

“Adakah ini bermakna kita rasis? Kita nak pertahankan perlembagaan dan Pas dah beri jaminan tidak akan berlaku rusuhan dan sebarang provokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama kepimpinan UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid seterusnya mengajak seluruh ahli UMNO Selangor dan seluruh negara untuk turun seramai-ramainya pada 8 Disember nanti.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu kekalahan parti pada piihan raya umum yang lalu mempunyai hikmah yang tersediri untuk dihayati dan ianya merupakan proses pembersihan hati masing-masing kerana saling berlaga sesama sendiri.

“Apabila UMNO sedang terdampar ke dinding dengan kekalahan, ini merupakan proses pembersihan hati dan minda sebab kita bertikam sesama sendiri.

“Ketepikanlah perbedaan-perbedaan kita…Jika Pas boleh ketepikan perbezaan politik ketepikan perbezaan kecil antara kita. Potensi kemenangan ada jika kita tidak bertelagah,” ujarnya.

Tegas beliau kedudukan Pakatan Harapan yang lemah dan saling bergaduh sesama sendiri, UMNO cuba dimalukan.

“Tujuannya untuk bubarkan UMNO tetapi pimpinan kita tidak mahu ikut untuk membubarkan UMNO. Tidak ada jalan untuk kita melompat… jangan harap kita mahu bubarkan UMNO dan kita tetap pertahankan parti.

“Kita kuatkan UMNO sebagai sebuah parti pembangkang, kuatkan dan perkukuhkan saf dikalangan kita, kerjasama dengan Pas di dalam gagasan pembangkang, jangan ketepikan parti-parti kecil yang lain, jangan ketepikan NGO-NGO serta persatuan dan sebagainya. Mereka mendokong perjuangan kita insya Allah kita akan berada di barisan depan semula,” katanya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.