Sudah Sampai Masa UMNO Dan Pas Bersatu – Hadi Awang


PASIR SALAK, 17 Nov – Presiden Pas Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, sudah sampai masanya UMNO dan Pas kembali bersatu demi menegakkan keadilan dan membela agama Islam.

Jelas beliau, ini bukan kali pertama kedua-dua parti itu bergabung kerana sejarah pernah membuktikan UMNO dan Pas bergabung pada 13 Mei walaupun berlainan idealogi.

“Walaupun berbeza pandangan… lepas kemerdekaan berbeza pendekatan tapi bila berlaku 13 Mei UMNO dan Pas bersatu… Hubungan Islam, bangsa dan tanah air tidak boleh dipisahkan.

“Hari ini apa yang kita sedang hadapi… cabaran dari kalangan yang tidak faham makna kemerdekaan.. kita kembali bersatu.

“Perjuangan kemerdekaan bukan sahaja UMNO dan Pas tapi MCA dan MIC juga bersama, perjuangkan kemerdekaan dan hasilkan perlembagaan. Islam adalah agama persekutuan tapi agama lain diberi kebebasan dan hak. Sudah cukup asas itu dalam perlembagaan,” ujar beliau ketika berucap dalam program Himpunan Perpaduan Ummah, di sini hari ini yang dihadiri lebih 40 ribu rakyat.

Tambah Hadi, mereka yang baru ‘setahun jagung’ harus menghormati perkara ini dan jangan berlagak pandai mahu memperjuangkan hak kesamarataan seperti meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Bapa yang ada anak tiga dengan bapa yang ada anak 10 tidak boleh dibagi bantuan yang sama.. jadi jangan pandai-pandai nak bawa masuk benda yang boleh nafikan hak Islam dan Bumiputera.

“Islam mengajar kita adalah keluarga. Lihat bagaimana Cina dan India boleh hidup dalam kampung Melayu.. kita tidak kacau. Inilah akhlak yang diajar Islam. Jadi yang bukan Islam patut faham dan hormati.

“Jangan kacau.. jangan main-main. Kita harapkan rakan bukan Islam jangan dirosakkan oleh nila setitik. Kita menerima mereka sebagai masyarakat tapi mereka kena buang nila setitik ini. Kepimpinan negara kena sedar hakikat ini,” tegas Hadi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.