Jika Kerajaan PH Gagal Tolak ICERD, UMNO.. Pas, NGO Akan Terus Bangkit Menentang – Zahid

PASIR SALAK, 18 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan tegas berkata seluruh ahli UMNO, Pas dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) akan bangkit menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) jika tiada pengisytiharaan daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menolaknya.

Justeru menurut Ahmad Zahid, bagi UMNO, dengan seluruh kekuatan ahlinya dengan tekad menentang ratifikasi ICERD.

“Kita ketepikan perbedaan pegangan politik di kalangan kita, ini bukan perhimpunan Pas, UMNO dan NGO-NGO.. ini perhimpunan ummah keseluruhannya, rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Mulainya malam ini kita ketepikan perbedaan dari semua peringkat, demi Islam UMNO dan Pas bergabung dalam satu wadah kekuatan ummah,” tegas Ahmad Zahid dalam ucapannya sepentas bersama Presiden Pas Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di sini malam tadi.

Kira-kira lebih 40 ribu umat Islam yang majoritinya terdiri daripada ahli UMNO, Pas dan NGO hadir dari seluruh negara bergabung berhimpun di dalam Perhimpunan Perpaduan Ummah di Kampung Gajah, di sini.

Turut hadir pemimpin-pemimpin utama UMNO, Pas dan NGO sama ada dari peringkat pusat, negeri hinggalah dari akar umbi.

Tambah Ahmad Zahid lagi, perhimpunan yang diadakan di Pasir Salak itu merupakan satu perhimpunan yang besar ertinya kepada seluruh umat Islam di Negara ini.

“Ini satu perhimpunan yang cukup besar ertinya.. perhimpunan ini jelas seluruh ahli-ahli UMNO, Pas serta NGO-NGO berkumpul di Pasir Salak ini.

“Saya ingin mengumumkan malam ini bukan malam pertama dan terakhir Perhimpunan Perpaduan Ummah, bahkan ini malam pertama Datuk Seri Tajuddin telah diberikan mandat untuk mengadakan perhimpunan yang sama di setiap negeri.

“Dengan semangat ukhuwah yang ada pada kita.. kita datang dengan semangat perjuangan Islam, Melayu dan tanah air kita,” katanya.

Dalam pada yang sama, Ahmad Zahid memberi komitmen UMNO akan bersama-sama dengan Pas yang akan mengadakan perhimpunan yang sama di Kuala Lumpur pada 8 Disember nanti.

Jelasnya lagi, kerajaan Malaysia sejak merdeka tidak pernah menindas mana-mana kaum, budaya serta agama lain dan janganlah ada pihak yang cuba meminggirkan hak-hak orang Melayu dan Islam sebagaimana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hari ini, tapak permulaan untuk kita bercantum biarpun atas nama ICERD, kita menolak ratifikasi ICERD, kita tahu ia diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menolak dasar perkauman di Afrika Selatan.

“Kerajaan Malaysia dari tahun 1957 tidak menindas mana-mana kaum, agama, budaya. Jangan silap kononnya atas nama kesamarataan mereka mahu meminggirkan Islam. Mereka mahu meminggirkan Melayu, Raja-Raja Melayu dan kita bangun tidak mahu ICERD ini diratifikasikan,” tegasnya.

Menurut Ahmad Zahid juga, jika kerajaan PH tetap berpendirian tiada sebarang pengisytiharan mengenai ICERD, tidak mustahil orang Melayu mengamuk.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap agar UMNO dan Pas bercantum serta ketepikan perbezaan demi Islam, Melayu dan Bumiputera serta rakyat secara keseluruhannya dengan membina kekuatan yang baharu untuk negara ini.

Sebelum acara kemuncak dengan ucapan dari Ahmad Zahid dan Haji Hadi, turut dimulakan dengan ucapan pemimpin-pemimpin negeri dan tempatan dari kedua-dua parti serta solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.