Lebih 40,000 Di Himpunan Perpaduan Ummah Bukti Jangan Cabar Perlembagaan Persekutuan

PASIR SALAK, 17 Nov – Puluhan ribu umat Islam tidak mengira latar belakang politik dari seluruh pelusok negara berkumpul bersama di Kampung Gajah, di sini malam ini bagi menyatakan eskpresi perpaduan ummah.

Ia juga sebagai satu isyarat yang jelas kepada pihak yang mahu cuba mencabar kesucian Islam bahawa umatnya tidak rela sama sekali ia terjadi.

Rakyat yang hadir dari pelbagai parti baik UMNO, Pas atau lain-lain mahupun dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) antaranya seperti Gerakan Pembela Ummah dan Jaringan Melayu Malaysia bersama-sama berkumpul untuk menyatukan fikrah dan keutuhan kaum Melayu dan Bumiputera dalam menjaga hak-haknya sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan Raja-raja melayu.

Himpunan ini adalah penentangan terhadap ICERD yang secara jelas sekali lagi dizahirkan, menggesa agar kerajaan tidak tunduk kepada desakan-desakan segelintir pihak yang mahu ianya diratifikasikan.

Bumi Pasir Salak malam ini bergema dengan laungan ‘Hidup Islam’, ‘Hidup Melayu’, ‘Hancur ICERD’, ‘Daulat Tuanku’ serta ‘Takbir’ tanpa henti.

Himpunan ini juga menjadi satu sejarah negara apabila menyatukan pemimpin utama dari parti terbesar orang Melayu dan Islam iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang serta barisan kepimpinan di peringkat pusat, negeri mahupun tempatan.

Kedua-duanya akan menyampaikan amanat selain dari beberapa pemimpin kedua-dua parti serta NGO. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.