Kerajaan PH Digesa Ambil Tindakan Mana-mana Pihak Hina Islam

PASIR SALAK, 17 Nov – Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendesak agar kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) membendung dan mengambil tindakan baik dari dalam atau luar mana-mana pihak yang cuba menghina agama Islam dan orang Melayu.

Jelas beliau, walaupun rakyat menerima kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, namun itu tidak bermakna mereka mempunyai hak untuk menindas dan mengganggu-gugat agama rasmi negara ini.

“Kita lihat sekarang ini bagaimana menteri membuat kenyataan hina orang Islam… nak hapuskan hak istimewa kita.

“Maka sudah sampai masa untuk kita bangkit menentang kezaliman kerajaan baru ini.

“Kita berhimpun hari ini bukan kerana rasis tapi kerana kita nak bagi amaran sama ada dari Amerika Syarikat… Eropah dan di dalam negara bahawa kini umat Islam telah bersatu,” ujar beliau ketika berucap dalam program Himpunan Perpaduan Ummah, di sini, hari ini.

Tegas Tajuddin, rakyat Pasir Salak juga menyokong penuh kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang di Parlimen baru-baru ini iaitu sekiranya kerajaan mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) maka Pas akan mengerahkan jutaan rakyat turun ke jalanan.

“Saya rasa bukan setakat di sini tapi kita akan gerakkan seluruh ahli UMNO untuk turun ke jalanan.

“Saya percaya UMNO bersama-sama dengan Pas akan bergabung dan tidak kurang 10 juta orang Melayu sanggup turun ke jalanan,” ujar beliau lagi.

Dalam himpunan tersebut, lebih 30 ribu umat Islam dari pelbagai latar belakang melibatkan part-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.