Bajet 2019 Adalah Belanjawan Dap, Bukan Belanjawan Rakyat

KUANTAN, 17 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, belanjawan yang dibentangkan oleh kerajaan baru-baru ini hanyalah belanjawan untuk orang-orang Dap sahaja, di mana belanjawan tersebut secara jelas meminggirkan golongan nelayan, pekebun kecil, peneroka dan pesawah padi yang kebanyakan terdiri daripada orang-orang Melayu.

Menurut beliau, peruntukan untuk kawasan luar bandar dipotong dengan begitu banyak sekali yang cukup menjejaskan bantuan dan punca pendapatan kepada rakyat luar bandar yang majoritinya adalah terdiri daripada orang-orang Melayu.

“Jadi jelas sekali belajawan yang dibuat oleh kerajaan itu tidak memikirkan nasib rakyat di luar bandar yang majoritinya adalah terdiri daripada orang-orang Melayu. Belum pun habis bajet 2019 itu dibahaskan, Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan akan ada bajet tambahan. Mana pernah dibuat sebelum ini.

“Ini jelas menunjukkan bahawa di dalam Pakatan Harapan (PH), namanya saja yang berpakat, namun hakikatnya mereka tidak berpakat langsung. Isu bajet ini sebagai contoh betapa dalam hal sebesar ini pun mereka tidak sepakat.

“PKR dengan agenda kepartian mereka, Amanah dengan agendanya terdiri, begitu juga dengan Dap dan PPBM. Inilah kelemahan yang amat ketara yang ada pada mereka menyebabkan pentadbiran negara begitu banyak kelemahannya di sana sini akibat tidak ada persepakatan di antara sesama mereka sendiri,” ujarnya.

Tegas Mohamad, ahli-ahli UMNO tidak perlu risau kerana hakikatnya UMNO kini masih lagi sebuah parti yang terbesar dan mempunyai jumlah ahli Parlimen yang paling ramai berbanding dengan parti-parti lain di negara ini.

“Kita tidak perlu risau atau kelam-kabut dalam situasi politik hari ini. Apa yang penting ialah, kita perlu meyakinkan semula rakyat yang mana telah tertipu dengan janji-janji kerajaan PH, sedar bahawa mereka sebenarnya telah ditipu oleh PH untuk menjadi kerajaan.

“UMNO ini bukanlah semata-mata satu parti, tapi UMNO adalah satu perjuangan. UMNO ditubuhkan di atas dasar perjuangan. Ianya satu perjuangan kebangsaan. Ini adalah perjuangan kebangsaan orang Melayu daripada Perlis hingga ke Johor,” tegasnya.

Justeru, beliau menegaskan ahli-ahli dan para pejuang Melayu yang menjadikan UMNO sebagai wadah, agar tidak mengkhianati perjuangan yang telah diasaskan oleh nenek moyang bangsa Melayu sejak dari dulu sehingga ke hari ini.

“Jangan kita khianati perjuangan kita. Jika kita sedar bahawa UMNO ini adalah satu perjuangan, maka kita tidak akan melompat keluar. Jadi, yang dah melompat itu biarkanlah. Jangan kita risau dengan tindakan mereka. Jangan risau tentang UMNO bakal dikuburkanlah dan sebagainya, kerana mereka tidak dapat mematikan perjuangan ini.

“Mereka boleh penjarakan pemimpin UMNO tetapi mereka tidak boleh memenjarakan perjuangan orang Melayu yang telah diperjuangkan sejak dari dulu lagi. Jadi, jika kita sebagai seorang pejuang, kita tidak akan lari dan mengkhianati perjuangan orang Melayu ini,” tegasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.