Kerajaan Perlu Elak ‘Bajet Antara Dua Darjat’…Perlu Ada Pelan Tindakan Bersepadu – Mahdzir


KUALA LUMPUR, 16 Nov – Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata bagi mengelakkan Bajet 2019 dikenali sebagai ‘bajet antara dua darjat’, kerajaan perlu mempunyai pelan tindakan yang bersepadu untuk membolehkan suasana kehidupan yang lebih baik daripada apa yang berlaku hari ini.

Menurut beliau dalam tempoh lima bulan terakhir ini, terutamanya kos sara hidup rakyat luar bandar meningkat dengan kesan daripada kejatuhan harga komoditi.

“Saya ingin menyentuh mengenai isu berkaitan harga padi, getah dan kelapa sawit. Pihak kerajaan tidak menyebutkan secara jelas bantuan kepada golongan-golongan ini, khususnya kepada petani padi.

“Kita berharap bahawa ini diambil kira secara serius kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada rakyat negara ini yang telah memberikan sumbangan besar walaupun mereka hanyalah kumpulan petani.

“Begitu juga dengan getah. Sepertimana yang disebutkan, harga RM1.80 sen sekilo… kalau satu hari menoreh dapat hasil 10 kilogram akan dapat RM17.00… kalau 20 kilogram maknanya penoreh akan dapat RM34.00… lebih kurang RM34.00 sehari, dan kementerian yang berkenaan patut lihat perkara ini.

“Berkaitan sawit, harga berada pada tahap yang rendah pada waktu ini. Kedua-dua komoditi ini kita tahu ianya terikat dengan harga di pasaran antarabangsa, tetapi kita mestilah mempunyai dasar luar negara yang jelas yang berkaitan dengan hubungan dagang dengan negar-negara yang besar. Salah satu negara yang paling besar membeli komoditi kita adalah negara China. Oleh itu, penting untuk ada dasar hubungan luar negara yang jelas.”

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet 2019 di Dewan Rakyat, Khamis.

Mahdzir yang juga bekas Menteri Pendidikan turut menyentuh aspek pendidikan yang mana diharapkan agar kerajaan memberikan satu bajet khusus untuk penambahbaikan sekolah. – MediaUMNO