Demi Maruah Dan Kesinambungan, UMNO Akan Calon Semula Mohamad Hasan – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 16 Nov – UMNO akan mencalonkan semula Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Demikian kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan menerusi akaun Twitternya hari ini.

Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi Seremban untuk membatalkan kemenangan Mohamad di DUN Rantau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu sudah dijangkakan.
“Jentera Barisan Nasional (BN) akan digerakkan sepenuhnya. Biar pun banyak kekangan dan halangan, kerusi Rantau mesti dipertahankan.

“Demi maruah dan kesinambungan mari UMNO dan BN perkasa kesatupaduan,” tegas beliau lagi.

Mahkamah Khas Pilihan Raya pada Jumaat memutuskan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu di sini pagi Jumaat selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen Dr S. Streram dan peguam responden, yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan dan mengarahkan PRK diadakan.

Calon PKR, Dr. S. Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu mencabar keputusan PRU di kerusi tersebut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.