Kerajaan Digesa Naikkan Usul ICERD Untuk Dibahas Di Parlimen


KUALA LUMPUR, 15 Nov – Kerajaan digesa membawa isu mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) untuk dibahaskan di Parlimen sebelum menandatanganinya, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, perkara ini perlu dibincangkan secara menyeluruh khususnya semua Ahli Parlimen yang mewakili rakyat kerana ia melibatkan kuasa Yang Di-Pertuan Agong, kepentingan masyarakat Melayu secara umum, hak masyarakat dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan beberapa perkara lain yang berkaitan.

“Saya telah mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 26 berkenaan perkara ini, yang juga telah disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan berharap Kerajaan akan memberi laluan untuk usul ini dinaikkan dan dibahaskan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy berhubung jawapan sewaktu Jawapan Menteri (MQT), bagaimanapun Kerajaan tidak memberikan komitmen bahawa perkara ini akan dibawa ke Parlimen.

“Seperti mana yang dinyatakan oleh YB Menteri, bahawa ramai yang tidak faham akan tujuan sebenar ICERD ini, justeru saya berpandangan Parlimen adalah platform terbaik untuk Kerajaan membuat penjelasan secara terperinci sekaligus mendapatkan maklum balas daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebelum Kerajaan bertindak untuk mengesahkan Konvensyen tersebut kerana ia mampu melibatkan implikasi yang besar kepada negara dan rakyat,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Pengerang.

Jelasnya yang juga Ketua Unit Undang-Undang UMNO, walaupun Kerajaan telah menjelaskan bahawa ratifikasi Konvensyen ini boleh dibuat dengan pengecualian tanpa melibatkan pindaan kepada undang-undang sedia ada, namun hakikatnya, komitmen dalam sesebuah Konvensyen antarabangsa seperti ICERD pastinya akan mendesak dan menekan negara kelak untuk membuat pindaan undang-undang yang selari dengan pendirian Konvensyen ini untuk menghapus sebarang bentuk diskriminasi kaum.

“Selain itu, YB Menteri juga menyatakan bahawa memandangkan perkataan-perkataan yang mendefinisikan diskriminasi kaum dalam Artikel 1(4) ICERD tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan bermakna ICERD tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Beliau turut menyatakan kenyataan itu adalah atas kapasiti peribadi sebagai seorang Peguam, bermakna tiada komitmen yang jelas daripada pihak Kerajaan berhubung perkara itu. Malah timbul juga persoalan adakah masyarakat antarabangsa akan mempunyai pandangan sama dengan beliau?”

Justeru beliau bertegas agar perkara ini perlu dibahaskan dengan lebih mendalam dan tiada keperluan yang mendesak untuk Kerajaan menandatanganinya dalam tempoh terdekat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.