Bajet 2019 Tak Ada Idea Yang Besar, Masih Dalam Mood Salahkan BN – Khairy

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Bajet 2019 kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini tidak ada idea yang besar selain daripada ‘mood’ mencari alasan dan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Katanya, biarpun bajet tersebut adalah jumlah terbesar dalam sejarah bajet negara namun tidak ada apa-apa yang baru yang diketengahkan oleh mereka.

“Ramai yang buat ramalan bahawa bajet kali ini lebih kecil sebab kononnya negara banyak hutang, tak ada duit tapi tiba-tiba bajet berjumlah 300 bilion lebih yang maksudnya mereka dapat mencari pendapatan dan hasil kerajaan.

“Kalau tolak dividen dari Petronas 30 bilion , kutipan hasil adalah 21 bilion iaitu kurang dari 5 bilion sahaja dari kutipan BN, jadi tak bolehlah kata tak ada duit.”

Tegas beliau juga, hutang negara menerusi dokumen rasmi yang dibentangkan bukan 1 trilion dan kalau nak sampai hutang 1 trilion itu bukanlah BN yang buat tapi PH.

“Hutang ini bukan hutang jangka masa pendek, bukan kena bayar hari ini tapi jangka masa panjang, kena bayar dalam jangka masa yang lama. Soal duit dan hasil kerajaan memang ada tapi kita dimomokkan tak ada duit, kerajaan akan bangkrap, tak ada hasil dan sebagainya namun sudah pun terbukti bahawa itu semua tak betul dengan pembentangan bajet yang begitu besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana U3.0 yang diadakan di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini serta turut disiarkan secara ‘live’ melalui medium Facebook UMNO-online.

Namun begitu, kata Khairy yang merisaukan Bajet 2019 akan mencatatkan defisit yang sangat besar iaitu 54 bilion

“Dari segi strategi tak nampak apa. Banyak dari program yang diumumkan hanya copy paste atau diambil dari BN, kalau segan sikit dia tukar nama misalnya kalau dulu dipanggil BR1M, sekarang Bantuan Sara Hidup (Basah)… dulu dedak kering sekarang basah,” sindir beliau.

Tegasnya, kalau nak copy paste ambillah semua tapi mereka terlupa contohnya bantuan untuk nelayan, petani, untuk musim tengkujuh dan sebagainya.

“Mereka masih lagi beri 1,001 alasan kenapa tak dapat dirangsangkan ekonomi kita. Dalam Inisiatif Ekonomi Rakyat yang BN bentangkan, saya menyatakan bahawa projek-projek besar mesti diteruskan.

“Kalau ada keraguan dalam harga contohnya ECRL bernilai 81 Bilion, kalau isunya kos… kos boleh dirunding atau dikurangkan, tak perlu buat ‘double tracking’ pun misalnya, boleh buat ‘single track’, itu dari segi skop… tetapi penting untuk diteruskan dan diadakan projek ini kerana ia bukan hanya projek keretapi sebaliknya ia akan bawa limpahan yang lebih besar di Pahang, Terangganu dan Kelantan.

“Bila ada keretapi bukan hanya untuk penumpang tapi juga untuk kargo. Bila ada kargo yang boleh disambung maka lebih mudah untuk bina ekosistem di Pantai Timur.”

Beliau turut memberi contoh projek HSR yang bukan hanya untuk hubungkan Kuala Lumpur-Singapura tapi ada perhentian di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan sebagainya.

“Ini akan buka satu ruang ekonomi yang pesat di Selatan Semenanjung tapi kenapa tak ada usaha untuk sambung. Takkanlah kerana ego yang besar, kerana ini adalah idea BN, kerana ini idea Najib tak nak sambung sedangkan ini adalah projek yang akan beri kesan limpahan yang sangat besar.

“Yang ada hari ini… kereta nasional, jambatan bengkok… itu yang kita dengar tetapi tak ada idea yang besar untuk membawa satu anjakan ekonomi seperti ECRL dan HSR.

“Mereka masih lagi tak dapat nak memikirkan lebih daripada memberi alasan dan menyalahkan BN,” katanya lagi yang memegang fortfolio kewangan dalam kabinet banyangan BN. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.