Yang Langau Dah Terbang, Biarlah Ahli UMNO Yang Setia Jadi ‘Garam’ – Mohamad

MELAKA, 11 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pimpinan dan ahli parti yang terus berada di dalam UMNO hari ini umpama garam yang akan menjadi pengubat kepada parti dalam mendepani cabaran dan seterusnya bangkit untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

“Orang tua-tua khabarkan, yang ada di depan kita hari ini  adalah semua garam UMNO yang tinggal untuk mengubat penyakit UMNO. Langau-langau dah terbang dah. Tidak ada benda yang nak dihisap lagi mereka pun terbang. Biarlah langau ini terbang dan biarlah kita di sini menjadi garam. Kita ubatkan dan rawatkan penyakit kita… luka kita… kita rawat supaya yang penting tidak lama lagi pilihan raya.

“Kalau ikutkan sebelum ini, mereka itu tidak akan sampai lima tahun…Itu pun tidak sabar dah tu.Tidak usahlah kita pening-pening kepala, kita buat kerja dan kita kukuhkan parti kita. Kita bukan lagi jadi kerajaan… ingat… pokok tumbang… tanya kamu YB atau kita YB… biarkan mereka buat kerja.

“Kalau lambat buat kerja kita masuk dalam media sosial dan sebagainya. Kita ganyang mereka pulak. Mereka dulu bukan buat kerja pun…mereka hanya mencari salah kita. Hari ini kita cari salah diaorang pulak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan khas pimpinan UMNO Pusat bersama UMNO Melaka, di sini, hari ini.

Mohamad seterusnya berkata apa yang penting masing-masing di semua peringkat tidak perlu bercelaru antara dengan yang lain dan tidak perlu pening kepala.

“Mari kita bersatu padu… mari kita bersama-sama semula. Mari kita pandang jauh-jauh dan jangan pandang yang dekat-dekat dengan mata tetapi kita kabur tidak nampak ke mana arahnya nasib bangsa Melayu kita 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Lupakanlah yang kecil-kecil…lupakan yang remeh temeh dan mari kita berganding bahu. Jangan kita pula tidak tentu arah.. ke hulu kemudiannya ke hilir macam ikan sembilang kena ‘karbaid’ apa hal…yang meloncat-loncat biarkanlah. Kita kuatkan barisan kita,” tambahnya.

Jelas beliau lagi untuk berjuang semangat mestilah kuat dan tidak perlu gusar untuk mengaku berada di dalam perjuangan UMNO.

“Jangan ‘moyok’… nak berlago mesti kombang…kombangkan dado…den oghang UMNO… ini parti yang memerdekakan negara kita,” ujarnya dalam loghat Negeri Sembilan yang disambut tepukan gemuruh mereka yang memenuhi tempat program di Kampug Bertam Ulu, Paya Rumput. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.