Kelab UMNO Luar Negara Santuni Gelandangan

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kelab UMNO Luar Negara meneruskan komitmen dengan mendekati masyarakat menerusi program turun padang yang diadakan malam ini bagi menyantuni golongan gelandangan dan miskin bandar di sekitar ibu negara.

Seramai 20 pelajar Kelab UMNO Luar Negara yang sedang melanjutkan pengajian di luar negara dan pulang bercuti di tanah air mengambil kesempatan mengisi masa dengan menyantuni masyarakat.

Mereka turut memanfaatkan ruang cuti dengan turun padang menyertai aktiviti kebajikan bersama golongan gelandangan dan miskin bandar di sekitar Kuala Lumpur.

Program bertemakan “A Step Towards Healing” itu memberi tumpuan kepada aktiviti kebajikan secara langsung bersama komuniti jalanan Kuala Lumpur, termasuk penyediaan serta pengagihan makanan dan barangan keperluan kepada golongan yang memerlukan.

Antara pengisian utama program ialah pengagihan makanan kering (dry food) kepada gelandangan di beberapa lokasi sekitar ibu negara seperti Jalan Silang, Cahaya Suria UTC dan Central Market.

Para peserta kemudiannya bergerak ke Jalan Belia sebelum meneruskan aktiviti kebajikan di Lorong Haji Taib, termasuk penyediaan makanan untuk golongan miskin bandar.

Penganjuran program tersebut mencerminkan usaha berterusan Kelab UMNO Luar Negara untuk mendekati masyarakat serta menyumbang secara langsung kepada komuniti yang memerlukan, khususnya golongan yang berdepan cabaran kehidupan di kawasan bandar.

Inisiatif itu juga memperlihatkan keprihatinan pelajar Malaysia di luar negara yang memilih untuk memanfaatkan waktu cuti dengan aktiviti kemasyarakatan, sekali gus memupuk semangat kesukarelawanan dan kepedulian terhadap nasib golongan kurang bernasib baik. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO