PRN Melaka Perlu Formula Sesuai Dengan Geopolitiknya – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Barisan Nasional (BN) memerlukan formula yang bersesuaian dengan geopolitik Melaka dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu tidak lama lagi, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata formula itu, tidak semestinya mengikut acuan sama PRN Johor dan Negeri Sembilan, yang membawa kemenangan besar kepada BN.
Ahmad Zahid berkata sebarang rundingan yang dilakukan mesti mengambil kira dua aspek iaitu manfaat dan mudarat.

“Kita harus memastikan manfaat yang diperoleh lebih besar daripada mudarat yang mungkin timbul. Sebarang perundingan yang akan dilakukan dengan mana-mana pihak atau gabungan, mesti melihat aspek-aspek itu.
“Kita harus jujur, ikhlas dan memegang janji yang kita sebut, bukan melakukan perkara yang sebaliknya apabila sebarang perjanjian itu telah dipersetujui bersama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Amal Konvoi Charity Ride Kontinjen Negeri Sembilan bersama dengan Ipoh Super Bike Club (ISBC) bersempena dengan Sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka ke-69.
Ahmad Zahid berkata beliau telah memberi mandat kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga Pengerusi BN Melaka untuk mengadakan rundingan sebelum hasilnya dibawa ke peringkat nasional untuk diperhalusi dan dimuktamadkan.
Beliau berkata kerjasama politik peringkat negeri juga perlu dilihat dalam konteks usaha memperkukuh kestabilan politik peringkat nasional.
Ahmad Zahid berkata pada peringkat nasional, kerjasama antara parti bukan sahaja dizahirkan menerusi mesyuarat Kabinet, malah turut diperkukuh melalui koordinasi antara kementerian serta pendekatan whole of government, bagi memastikan kepentingan negara dan kestabilan politik terus terpelihara.
Mandat Kerajaan Negeri Melaka akan tamat pada 31 Dis.
PRN Melaka ke-15 menyaksikan BN membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 21 daripada keseluruhan 28 kerusi, diikuti PH lima kerusi manakala PN dengan dua kerusi.
Bagaimanapun, barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang dilantik turut meliputi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH, sekali gus menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan seperti yang dilaksanakan pada peringkat Persekutuan. – BERNAMA
