UMNO Johor Beri Jaminan Terus Bersama Zahid Pikul Tanggungjawab Berdepan Cabaran

JOHOR BAHRU, 10 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata UMNO negeri mengharapkan agar Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meneruskan tugas dan melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju parti.

“Teruskanlah memimpin UMNO ini dan bawalah parti ini untuk berhadapan dengan sesiapa juga.

“Membujur lalu melintang pun berlalu. Kita teruskan perjuangan ini”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perjumpaan bersama kepimpinan dan ahli UMNO Johor di Johor Bahru yang dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pimpinan pusat lain.

Hasni seterusnya memberi jaminan UMNO Johor akan terus bekerjasama untuk memastikan bahawa parti yang lahir di Johor ini tidak akan berkubur.

“Inilah wajah-wajah dan benteng pemimpin UMNO. Jadi bila dah sokong kita kena pastikan…kerana kita belum apa-apa lagi 19 dah menang esoknya tiga dah melompat. Kerja-kerja melompat ini memang diakui boleh melemahkan parti.

“Sebab itu di atas bahu dan kepala pemimpin kita khasnya Presiden mempunyai tanggungjawab yang berat untuk menjaga 48 lagi ahli parlimen yang ada. Saya harap kita di Johor ini kita terus kekal dan setia bersama UMNO,” ujarnya.

Hasni seterusnya menghargai sikap dan pendekatan yang diambil oleh Datuk Zahid yang bersikap terbuka dan menerima segala pandangan yang diutarakan.

“Melalui perjumpaan terkeluar segala yang terbuku dihati pemimpin semua. Alhamdulillah beliau seorang pemimpin berjiwa besar dan dapat mendengar dengan jelas apa jua yang difikirkan perlu segala bentuk teguran dan saranan UMNO bahagian UMNO seluruh negeri. Alhamdulillah,” katanya. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.