Ahli UMNO Akan Terus Pertahankan Parti – Zahid

JOHOR BAHRU, 10 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli parti akan bermatian mempertahankan parti jika ada usaha yang mahu membubarkan UMNO.

Menurut beliau jika ada pihak yang mahu UMNO dibubarkan, membujur lalu melintang patah mereka tidak akan membubarkan parti yang merupakan institusi orang-orang Melayu di negara ini.

“Jika perdana menteri mahu kita membubarkan UMNO, bujur lalu melintang patah kita tidak akan bubarkan UMNO… insya- Allah. Langkah mayat ahli-ahli UMNO dahulu sebab kita tahu di dalam suasana dan landskap politik hari ini, yang ada di negara kita mereka tidak begitu kukuh malah rapuh, kita tahu masalah dalaman di kalangan empat parti Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Tegasnya, semangat dan kekuatan ahli UMNO di akar umbi sukar digugat dan perjuangan mereka tetap kental.

“Bila kami turun ke negeri-negeri, kita lihat bahawa ahli-ahli UMNO terus mantap dan kemantapan ini menjadikan UMNO insya-Allah terus kuat dan sukar dihancurkan.

“Walaupun pemimpin seorang dua lari, ahli-ahli dan pemimpin akar umbi tidak takut dan terus berada di dalam wadah UMNO. Ini termasuklah pemimpin NGO yang ada di depan kita ini… Kalau mereka sanggup bersama dengan kita, kita bukan hanya ahli UMNO malah kita adalah orang-orang UMNO yang tidak pernah meninggalkan parti,” katanya.

Jelasnya, dalam usaha pihak lawan di luar sana yang cuba melakukan pecah dan perintah di dalam parti, apa yang penting dan diutamakan hari ini adalah bersatu padu.

“Dalam keadaan itu, kita mahu UMNO terus mempunyai harga diri, kita mahu UMNO terus bermaruah, UMNO tidak boleh diperkudakan oleh mana-mana pihak dan insya-Allah jika ada kepimpinan khuatir parti akan diharamkan atau dibubarkan, insya Allah-kita mempunyai kaedah dari segi perundangan untuk menentukan UMNO tidak akan dibubarkan.

“Tetapi jika ditakdirkan dibubarkan juga, serahkan kepada kepimpinan peringkat pusat kita pun ada kaedah untuk menyelamatkan ahli-ahli dan orang-orang UMNO. Insya-Allah… kerana kita harus terus relevan dan kita bukannya melukut di tepi gantang, kita bergerak secara berpasukan sebab apa pilihan yang rakyat ada sekarang ini, mana-mana yang telah mengundi dengan penuh kemarahan ketika itu mereka telah insaf tetapi nasi telah menjadi bubur,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perjumpaan Presiden dan Kepimpinan Tertinggi UMNO bersama kepimpinan UMNO Bahagian-Bahagian Peringkat Negeri Johor, di sini, hari ini. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.