UMNO Harus Bergerak Ke Hadapan, Perkukuh Parti – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Nov – UMNO harus bergerak ke hadapan dengan memperkukuhkan perjalanan parti, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, perbezaan-perbezaan pendapat yang diraikan diletakkan titik noktah dan ahli-ahli UMNO harus bersama-sama untuk menterjemahkan kepemimpinan parti di semua peringkat.

“Kita harus bersama-sama untuk menterjemahkan kepemimpinan UMNO di semua peringkat dan menolak sebarang usaha-usaha untuk memecahkan parti dari luar atau dari dalam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di ibu pejabat, Menara Dato Onn petang ini.

Yang paling penting katanya, jelajah UMNO yang dilakukan bermula di Terengganu, diikuti dengan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan diteruskan.

“Ini adalah bagi memberikan penjelasan mengenai hala tuju UMNO dan bagaimana kita bergerak sebagai sebuah gagasan pembangkang yang efektif dan konstruktif bersama-sama dengan rakan-rakan parti pembangkang yang lain.”

Berkaitan program jelajah tersebut, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memaklumkan bahawa ahli-ahli UMNO mahukan parti kembali kukuh.

“Rakan-rakan saya Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan berserta pergerakan sayap-sayap melihat sendiri bahawa di bawah mahu UMNO terus kuat, mahu UMNO memperkukuhkan dirinya sebagai sebahagian daripada gagasan pembangkang.

“Tidak perlu untuk kita mengetuk pintu atau pintu kita diketuk bagi mengadakan sebarang bentuk perbincangan dan sebagainya. Kita harus bergerak sebagai sebuah parti yang kuat dan kita harus bersama-sama.

“Aset utama kita adalah ahli-ahli Parlimen dan kita harus memperkukuhkan perpaduan di kalangan kita. Kita yakin keseluruhan 48 ahli-ahli Parlimen tetap bersama-sama dengan kita dan sebarang keputusan dibuat secara bersama. Mereka tidak mahu meninggalkan UMNO dan mahu terus bersama sebagai ahli Parlimen UMNO,” tegasnya yang juga Ketua Pembangkang.

Dalam masa yang sama beliau memaklumkan bahawa MKT menyokong tindakan yang dibuat oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam.

“Kita harap kepimpinan dan ahli-ahli UMNO Sabah akan terus menyokong tindakan perundangan dan tindakan politik oleh UMNO Sabah.”

Turut bersama dalam sidang media ini ialah timbalan beliau, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Naib-naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.