Pemantau Malaysia Baru Buat Laporan Polis Terhadap Farid Kamil


KUALA LUMPUR, 8 Nov – Presiden Pertubuhan Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam hari ini membuat laporan polis terhadap pelakon Datuk Farid Kamil berhubung dakwaannya bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba memberikan sogokan sebanyak RM 5 juta kepada dirinya bagi memaafkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Paduka Rosmah Mansor.

Menurut Lokman, laporan polis ini dibuat memandangkan pelakon tersebut gagal melaporkan cubaan untuk merasuah dirinya yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Berdasarkan kenyataan Datuk Farid Kamil ini, jelas terbukti, beliau telah gagal melaporkan cubaan merasuah dirinya. Kegagalan beliau melaporkan perkara yang berlaku lebih setengah tahun lalu merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009.

“Sekiranya disabitkan bersalah, Farid boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tidak ada sebab mengapa Farid Kamil tidak melaporkan perbuatan tersebut melainkan kenyataan tersebut hanya direka bagi merosakkan imej Mantan Perdana Menteri dan isteri beliau.

“Tiada timbul istilah takut kerana akta perlindungan saksi wujud ketika kejadian dikatakan berlaku dan dia boleh memohon perlindungan saksi,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Lokman selain itu turut mengesyaki bahawa kenyataan yang dibuat oleh pelakon itu adalah satu penipuan, memandangkan beliau pernah membuat kenyataan yang meragukan kononnya beliau dianiaya oleh dua individu dari kumpulan kongsi gelap berhubung penangkapan beliau kerana terlibat dengan dadah.

“Dan hari ini, beliau menuduh Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah pula yang bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku terhadap dirinya. Perkara ini perlu disiasat oleh pihak polis supaya rakyat mengetahui kenyataan mana yang benar.

“Sebagai seorang artis dan individu bergelar Datuk, Farid tidak boleh sewenang-wenangnya melontarkan fitnah dan mereka cerita yang tidak wujud.

“Jika benar Farid tidak menipu, sudah pasti beliau telah melaporkan cubaan merasuah ini kepada pihak SPRM lebih enam bulan yang lalu dan mendedahkan nama pegawai kerajaan yang cuba merasuah beliau bagi pihak mantan perdana menteri dan isterinya.

“Justeru, saya mohon pihak polis menyiasat dakwaan beliau ini dan juga membuat ujian air kencing terhadap pelakon tersebut kerana dibimbangi beliau berada di dalam keadaan yang tidak stabil dari segi emosi barangkali kerana mengambil dadah secara berlebihan,” ujarnya.

Hari ini, di dalam sebuah video yang dimuat naik dalam youtube MyFokus Online, pelakon tersebut mendakwa bahawa beliau telah cuba dirasuah sebanyak Lima Juta Ringgit oleh pihak kerajaan (Iaitu Kerajaan BN yang berkuasa sebelum 9hb Mei, 2018) bagi memaafkan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Paduka Rosmah Mansor.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.