RSN Rayer Jangan Cetus Persepsi Buruk Terhadap Institusi Kehakiman
KUALA LUMPUR, 15 Okt – “Apa pandangan dunia terhadap negara kita jika keputusan mahkamah boleh dipersoalkan sehingga Perdana Menteri boleh diminta membuka semula sesuatu kes?”
Demikian bidas Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib yang tegas menyuarakan pendirian bahawa keputusan mahkamah wajib dihormati dan tidak seharusnya dipertikaikan sewenang-wenangnya, khususnya dalam persidangan Dewan Rakyat sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah wujud pihak yang lebih berkuasa daripada institusi kehakiman.
Beliau menegaskan, setiap keputusan mahkamah bukan dibuat secara sambil lewa, sebaliknya melalui penelitian dan pertimbangan berdasarkan proses perundangan yang sewajarnya.

Manndzri berkata demikian susulan pandangan terbuka Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, berhubung kes Yayasan Akalbudi yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurutnya, kenyataan yang menggesa Perdana Menteri supaya membuka semula sesuatu kes boleh mencetuskan persoalan besar mengenai kedudukan institusi kehakiman serta persepsi masyarakat antarabangsa terhadap sistem keadilan negara.
“Kita sepatutnya menghormati keputusan mahkamah. Apa yang telah diputuskan oleh mahkamah perlu kita terima kerana itulah badan tertinggi yang bertanggungjawab mengadili dan menghakimi rakyat Malaysia,” katanya.
Manndzri mempersoalkan apakah mesej yang dihantar kepada dunia sekiranya kenyataan politik seolah-olah memberi gambaran bahawa keputusan kehakiman masih boleh diarahkan untuk dibuka semula melalui desakan terhadap Perdana Menteri atau Peguam Negara.
“Kita tidak mahu orang luar, termasuk masyarakat antarabangsa, melihat seolah-olah ada pihak yang lebih tinggi daripada badan kehakiman sehingga boleh mengarahkan Peguam Negara dalam perkara berkaitan keadilan dan kehakiman,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak mengulangi tindakan atau kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap kedudukan institusi kehakiman negara.
Menurutnya, prinsip menghormati keputusan mahkamah perlu terpakai secara konsisten, tanpa mengira siapa individu yang terlibat atau sejauh mana sesuatu keputusan itu menjadi perhatian politik.
Beliau turut menyentuh keputusan berkaitan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sambil menegaskan bahawa proses dan tatakelola yang berkaitan perlu dihormati.
“Keputusan mahkamah adalah keputusan mahkamah dan kita perlu terima. Begitu juga keputusan berkaitan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Razak. Janganlah sampai kita mengadakan protes seperti budak-budak pula.”
Manndzri turut mengingatkan bahawa Ahli Parlimen bukan sekadar mewakili suara rakyat, malah memikul tanggungjawab menggubal undang-undang dan mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang.
Justeru, katanya, Dewan Rakyat sepatutnya menjadi medan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi negara, bukannya pentas yang mencetuskan persepsi bahawa keputusan badan kehakiman boleh dipengaruhi oleh tekanan politik.
Beliau berharap polemik seumpama itu tidak terus berulang, khususnya ketika persidangan Parlimen, kerana setiap kenyataan yang dibuat oleh wakil rakyat membawa implikasi terhadap kepercayaan awam dan imej negara.
“Saya harap perkara-perkara aneh sebegini tidak diulang lagi. Kita perlu menghormati keputusan mahkamah, khususnya apabila perkara itu dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat,” katanya.
Tegas beliau lagi, perbezaan pandangan dalam politik tidak seharusnya menghakis penghormatan terhadap institusi kehakiman, yang menjadi antara tunjang penting dalam memastikan keadilan dan kedaulatan undang-undang terus terpelihara di Malaysia. – UMNO Online
