Jadi Keliru, Pemimpin PH Isytihar Harta Atau Cuma Gaji?

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin melahirkan rasa keliru dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa telah melakukan pengisytiharan harta anggota pentadbiran kerajaan termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anggota Parlimennya.

“Saya amat keliru yang kerajaan PH minta kepada semua menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen kerajaan untuk diisytiharkan, adakah pengistisytiharan harta atau cuma gaji, nampak macam pengisytiharan gaji…,” tulisnya dalam catatan di laman twitternya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam memaparkan senarai pengisytiharan harta anggota pentadbiran kerajaan termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anggota Parlimen di laman webnya.

Berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta di https://mydeclaration.sprm.gov.my/, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mencatatkan pendapatan tertinggi dalam kalangan mereka yang telah membuat pengisytiharan, dengan jumlah RM86,464.92, yang turut diisytihar dengan isterinya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail menduduki tangga kedua, mengisytiharkan dirinya serta isteri dengan jumlah pendapatan RM77,629.68.

Dr Mahathir yang membuat pengisytiharan bersama-sama isteri pula berada di kedudukan ketiga dengan jumlah pendapatan RM75,861.57.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang membuat pengisytiharan untuk diri dan suami pula mencatatkan jumlah pendapatan RM59,048.33, berada pada kedudukan ke-11.

Laman web tersebut turut menyebut, maklumat terperinci berkaitan dengan pemilikan harta akan dipaparkan apabila masalah teknikal diselesaikan.

Portal Pengisytiharan Harta yang dibangunkan SPRM itu disediakan untuk membolehkan perisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan anggota parlimen kerajaan dipaparkan kepada masyarakat berdasarkan kepada keputusan kerajaan untuk membuktikan ketelusan kepimpinan kerajaan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.