Bajet 2019: Kerajaan PH Ibaratkan Orang Luar Bandar Seperti ‘Sampah’

ARAU, 3 Nov – Timbalan Presiden UMNO Datuk Mohamad Hasan berkata, Bajet 2019 yang dibentangkan oleh kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) ini mengibaratkan orang di luar bandar seperti ‘sampah’ kerana tiada langsung peruntukan untuk golongan pesawah, peladang, penoreh getah, petani dan nelayan.

Justeru jelas beliau, pengundi harus bangkit demi membela nasib rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Bajet 2019 tiada langsung sebut untuk luar bandar. Mana kebajikan pesawah… mana kebajikan peladang… penoreh getah, petani dan nelayan? Tiada….

“… Yang diberi untuk orang bandar sahaja sebab mereka duduk di bandar. orang Melayu jadi sampah kepada mereka,” ujar beliau dalam ucapan semasa program Jelajah Presiden bersama kepimpinan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO peringkat negeri Perlis di sini, hari ini.

Dalam ucapannya beliau turut menjelaskan program jelajah ini adalah bertujuan untuk memberi semangat semula di peringkat akar umbi.

“Sekarang kita harus baiki bahtera kita… ganti pendayung yang sudah patah… siapkan diri… siapkan bahtera untuk kita bertemu semula dalam PRU-15.

“Tiada istilah UMNO berkubur… kalau lihat PAU 2018 yang lepas tiada tanda UMNO akan berkubur malah lagi ramai yang datang.

“Tak tahulah siapa yang berkubur dulu… orang yang cakap tu atau UMNO,” sindir beliau lagi.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.