Bajet 2019 Tidak Banyak Titik Sentuhan Untuk Rakyat, Berbeza Dengan Inisitif Ekonomi Rakyat BN

 

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan Belanjawan 2019 yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini bukan sahaja tidak banyak titik sentuhan untuk rakyat malah jauh berbeza dengan dokumen Inisiatif Ekonomi Rakyat Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau inisiatif ekonomi rakyat yang diumumkan semalam umumnya menyentuh semua segmen malah tidak ada satu golongan pun yang tertinggal.

“Jadi banyak ‘touch point’  samaada tidak diumumkan hari ini atau pun langsung tidak ada. Berbeza dengan dokumen inisiatif ekonomi rakyat yang kita bentangkan semalam yang menyentuh semua segmen di mana tidak ada satu golongan pun yang ketinggalan

“Dan yang paling ketara sekali walaupun bajet ini lebih besar daripada bajet tahun lepas tidak banyak touch point untuk rakyat…sebagai contoh bantuan sara hidup adalah jauh lebih kurang daripada BR1M yang kita janjikan.  BR1M  Kalau menang BN hari itu kita janjikan RM 2,000. Ini paling banyak pun akan dapat RM1450 di bawah formula yang baru,” katanya di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng petang tadi membentangkan Belanjawan 2019 yang Bertemakan ”Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy seterusnya menambah walaupun tidak menafikan ada beberapa pengumuman baik yang telah dibuat dan tiga perkara utama dapat dilihat menerusi belanjawan tersebut.

“Saya tidak nafikan bahawa ada beberapa pengumuman baik yang telah dibuat. Namun tiga perkara yang utama yang kita lihat satunya tidak ada pengumuman dan berstrategi besar untuk merancakkan ekonomi.

“Keduanya banyak benda yang disambung daripada Barisan Nasional (BN) atau yang telah diumumkan sebelum ini dan ketiganya tidak cukup titik sentuhan untuk rakyat menerusi bajet kali ini,” ujarnya. -MediaUMNO