UMNO Bahagian Jeli Masih Utuh

KOTA BHARU, 30 Okt – UMNO bahagian Jeli masih lagi utuh di sebalik tindakan bekas ketua bahagiannya, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Jumaat lepas.

Anggota Jawatankuasa UMNO bahagian Jeli Datuk Mohd Adhan Kechik berkata setakat ini hanya segelintir anggota UMNO di bahagian berkenaan yang mengikut jejak langkah bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu.

“Tetapi dari segi keanggotaan samada di peringkat cawangan mahupun bahagian masih lagi kekal utuh seperti dahulu. Tak banyak perubahan yang berlaku walaupun kita akui ada segelintir kecil anggota-anggota UMNO mengikut jejak langkah Mustapa,” katanya.

Mohd Adhan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga berkata demikian ketika ditemui di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Ditanya berhubung sebarang perjumpaan yang diadakan Mustapa dengan anggota UMNO bahagian Jeli, Mohd Adhan berkata perkara itu hanya dilakukan ketika beliau mengumumkan keluar UMNO bulan lepas.

“Ada pertemuan besar-besaran secara ‘ad hoc’ ketika mula-mula beliau keluar UMNO dahulu dan kami di Jeli mengambil sikap terbuka dan mahu mendengar penjelasan daripada beliau sendiri. Namun selepas menyertai Bersatu saya difahamkan tiada sebarang pertemuan secara besar-besaran,” katanya.- Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.