Laporan 1MDB Tidak Dipinda – Ambrin


KUALA LUMPUR,  30 Okt – Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata tiada sebarang pindaan dibuat terhadap laporan asal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disediakan oleh beliau.

“Tiada sebarang pindaan. Saya tidak tahu apa yang beliau (Wong Kah Woh) maksudkan,” katanya merujuk kepada timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu yang semalam mendakwa laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB telah dipinda atas arahan individu tertentu.

Ambrin, yang kini mempengerusikan jawatankuasa siasatan tadbir urus, perolehan dan kewangan, berkata beliau mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas laporannya.

“Ia adalah laporan saya, saya mempunyai kawalan penuh ke atas laporan saya. Sebab itu saya perlu diberi peluang untuk menjelaskan kepada PAC,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah 2018 di sini, hari ini.

Ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke- 11 (RMK-11) di Dewan Rakyat semalam,  Wong mendakwa pindaan telah dibuat semasa kerajaan terdahulu, dan menurutnya beberapa agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Bank Negara turut ‘dilumpuhkan’ untuk menyiasat isu berkenaan ketika itu.

Turut dilaporkan bahawa PAC semalam menangguhkan prosiding siasatan 1MDB  ke satu tarikh dan masa yang akan ditetapkan kemudian seperti diumumkan Pengerusinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan.

Ambrin dijadual memberikan keterangan semalam dalam prosiding siasatan semula 1MDB.

Berhubung kenapa prosiding untuk beliau memberi keterangan di hadapan PAC ditangguhkan,  Ambrin berkata soalan itu patut diajukan pada Kiandee.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.