Dakwaan Jual Tanah DBKL : Tengku Adnan Cabar Ahli Parlimen Cheras Buat Tuduhan Luar Dewan


KUALA LUMPUR, 30 Okt – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencabar ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai supaya mengulangi tuduhan kononnya beliau mengizinkan tanah-tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijual tanpa mengikut prosedur di luar Dewan Rakyat.

Jelas beliau, sekiranya Kok Wai mengulangi pertuduhan tersebut diluar Dewan, sudah pasti beliau akan mengambil tindakan mahkamah bagi membuktikan dirinya tidak ada kena-mengena dengan kelulusan tanah di Wilayah Persekutuan.

“Untuk makluman Cheras (Kok Wai), tuduh saya di luar. ‘I will take you to court’. Yang pertama sekali, saya nak beritahu kepada ahli-ahli Dewan, masalah tanah di Wilayah Persekutuan, waktu saya ambil alih sebagai menteri pada tahun 2013, saya telah pulangkan kepada Jabatan Perdana Menteri. Saya tidak ada kena-mengena di atas kelulusan tanah di Wilayah Persekutuan.

“Banyak orang kata saya tidak dipanggil oleh SPRM. Yang sebenarnya, lebih daripada 12 kali saya telah dipanggil. Dan saya telah memberi keterangan apa yang saya tahu,” ujar beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini Kok Wai di dalam soalan tambahannya kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mendakwa kononnya tanah-tanah milik DBKL yang berharga telah dijual dengan harga di bawah harga pasaran dan juga melalui rundingan terus ataupun tiada rundingan langsung dan perkara ini telah diizinkan oleh bekas Menteri Wilayah sebelum ini iaitu Tengku Adnan.

Khalid di dalam jawapannya memberitahu perkara tersebut telah dibawa ke mahkamah dan berharap agar perkara tersebut dapat diselesaikan segera. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.