Pendekatan Politik UMNO Hari Ini Perlu Berbeza Berbanding Ketika Jadi Kerajaan – Shahril


KUALA LUMPUR, 29 Okt – Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan berpandangan bahawa dalam usaha untuk menyakinkan rakyat, terutama golongan muda terhadap UMNO semula, ahli dan kepimpinan UMNO di semua peringkat perlu melakukan sentuhan dan pendekatan politik yang agak berbeza berbanding ketika UMNO menjadi kerajaan sebelum ini.

Menurut beliau, ahli dan kepimpinan UMNO perlulah mengeluarkan kenyataan-kenyataan tertentu yang menarik minat mereka, berada di dalam satu pentas atau melaksanakan apa juga program yang dapat menarik  rakyat khususnya golongan muda untuk dihadiri.

“Dalam usaha untuk meyakinkan rakyat, ianya lebih sukar daripada untuk menanamkan keyakinan kepada ahli parti itu sendiri. Dalam usaha untuk meyakinkan ahli parti, kita perlu rajin turun padang untuk mendekati mereka. Inilah yang sedang dilakukan oleh Ketua Pemuda UMNO dalam usaha untuk membina keyakinan ahli parti khususnya orang muda”, katanya.

Namun jelas beliau dalam usaha untuk meyakinkan rakyat ini, UMNO perlu lebih daripada hanya bersikap rajin.

“Kita memerlukan peranan minda, strategi yang tepat dan juga program yang bersesuaian, memerlukan keberanian untuk tampil dalam pentas-pentas tertentu, bersama dengan parti lawan contohnya, yang dapat meyakinkan audience atas pagar.

“Saya amat-amat berharap, dalam tiga empat tahun yang ada ini sebelum menjelang pilihanraya, kita dapat memperlihatkan kepada rakyat bahawa segala hujah-hujah yang kita berikan sampai kepada golongan pengundi atas pagar dan bukannya hanya berlegar di kalangan ahli-ahli UMNO sahaja.

“Kerana jika itu berlaku, kita merasa bahawa kita sudah buat kerja, sedangkan hakikatnya segala penjelasan dan hujah-hujah kita itu  sampa kepada pengundi-pengundi atas pagar di luar sana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program diskusi U3.0 yang diadakan secara langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online.

Sementara itu, beliau turut berpandangan bahawa antara kaedah yang paling berkesan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat  ialah dengan penghasilan video-video pendek yang ditularkan melalui medium media sosial seperti facebook, whatsapp dan sebagainya.

“Cuma yang perlu difikirkan ialah isi kandungan yang mahu dipaparkan melalui video-video pendek tersebut.

“Kita dapat lihat bagaimana parti lawan sebelum ini, isi kandungan video dan disulami info grafik yang mereka paparkan ternyata berjaya memandu pemikiran rakyat ke arah yang mereka kehendaki”, katanya.

Menyebut tentang teknologi yang menjadi agen kepada penyampaian maklumat hari ini pula beliau berkata teknologi ini akan sentiasa berubah dari masa ke semasa dan UMNO perlu sentiasa bersama dengan perubahan-perubahan tersebut.

“Ketika saya mula menceburi politik dulu, zaman itu adalah zaman blog. Segala maklumat yang berbentuk kritikan dan sebagainya disebarkan melalui blog. Selang beberapa tahun, kita lihat blog tidak lagi menjadi tarikan, apabila wujudnya smartphone, di mana segala maklumat dapat disalurkan secara terus melalui facebook, whatsapp dan youtube.

“Jadi bagi saya, adalah silap sekiranya kita hanya komited terhadap satu-satu medium sahaja. Kita tak tahu, mungkin dalam masa tiga empat tahun lagi muncul pula aplikasi penyampaian maklumat yang lebih hebat daripada apa yang kita ada sekarang ini,” ujarnya.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.