Speaker Pula Tegur Menteri, Timbalan Menteri Perlu Hadir Sesi Soal Jawab Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Menteri atau Timbalan Menteri perlu hadir bagi menjawab soalan dalam sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Rakyat, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

“Kita tidak boleh berharap seratus peratus kehadiran, itu mustahil. Terpulang kepada keadaan tetapi sesiapa yang seharusnya hadir di Parlimen kalau ada sesuatu yang akan dikemukakan olehnya, atau dijawab olehnya, dia patut hadir,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat rombongan pengurusan tertinggi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Walaupun Seksyen 24 Peraturan Majlis Mesyuarat menyebut bahawa jawab lisan boleh diwakilkan kepada menteri lain, sebaiknya Menteri yang bertanggungjawab bagi soalan yang dikemukakan hadir bagi menjawab soalan itu.

Semalam, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon menegur Menteri dan Timbalan Menteri agar lebih berdisiplin menjaga kehadiran di Parlimen.

Ia susulan gesaan Anggota Parlimen Ayer Hitam ,Datuk Seri Wee Ka Siong yang meminta Speaker membuat ketetapan mengenai perkara itu selepas beberapa anggota Parlimen tidak hadir bagi sesi soal jawab lisan.

Selain itu, isu kehadiran anggota Parlimen turut dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Pendang, Awang Hashim ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 yang mempersoalkan kehadiran sesi petang persidangan Dewan Rakyat pada 23 Okt yang merekodkan tidak lebih 20 peratus daripada 222 anggota Parlimen hadir. – Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.